Umno bincang calon PRK Ayer Kuning dalam masa terdekat

Umno bincang calon PRK Ayer Kuning dalam masa terdekat

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Umno akan membincangkan senarai nama yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) Perak untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Saya akan mengadakan mesyuarat dengan Datuk Seri Saarani dan akan umumkan (nama calon) sebelum hari penerimaan calon,” katanya selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan (MSKR) Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai calon dalam kalangan ahli Pemuda dan Wanita Umno yang turut melobi untuk dicalonkan pada PRK berkenaan, Ahmad Zahid membayangkan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat terbabit.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top