Bukan agenda DAP tapi agenda reformasi PH – Anthony

PUTRAJAYA – Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, ketetapan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dan pembanterasan rasuah antara agenda reformasi yang terus menjadi keutamaan parti selepas ini, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Sejurus 88 peratus perwakilan memutuskan DAP perlu kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, Anthony menegaskan, tumpuan tetap diberi kepada agenda yang memanfaatkan rakyat dan negara secara keseluruhannya.

Beliau sekali lagi menekankan bahawa keputusan majoriti perwakilan bukan cek kosong kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, komitmen untuk membawa reformasi dalam masa sama berusaha mendapatkan kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

“Saya nak perbetulkan ini bukan agenda DAP, tetapi agenda Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui secara bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita harap ia dapat dilaksanakan segera bukan hanya di peringkat PH, tetapi Kabinet juga antaranya pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Ini bukan agenda DAP semata-mata, kita tahu musuh-musuh politik akan gunakan persidangan ini untuk kata parti menekan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Persidangan DAP Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Ahad.

Ditanya tentang perubahan jangka pendek yang disuarakan akar umbi, Ahli Parlimen Seremban itu memaklumkan bahawa DAP akan terus membangkitkan pelaksanaan e-invoicing, termasuk permintaan untuk menaikkan kuota petrol RON95 kepada 300 liter semula serta diesel khususnya buat rakyat di Sabah dan Sarawak.

Ini kerana menurutnya, kesemua perkara dibangkitkan amat mendesak kos sara hidup rakyat sehingga memerlukan perhatian segera.

“Diharapkan perkara ini dapat dibincang dan dilaksanakan secara bersama. Saya yakin Perdana Menteri amat memahami sentimen rakyat lebih-lebih lagi mengenai kos sara hidup.

“Isu (gesa siasatan mafia korporat) akan kita perincikan dengan Perdana Menteri dan Kabinet kerana saya lihat beliau memberikan garis masanya,” ujarnya.

Kata pemimpin itu lagi, Anwar baru-baru ini memberikan garis masa sambil menyatakan beberapa tarikh untuk mengumumkan berita penting iaitu pada 30 Ogos, diikuti 16 September (Hari Malaysia) dan awal Oktober menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

“Jadi, kita beri ruang dahulu kepada Perdana Menteri. Sudah tentu kita tak boleh bincang banyak perkara dalam satu masa dan secara terbuka,” jelasnya.

 

Scroll to Top