Hilang sudah anak yang banyak membantu keluarga

Hilang sudah anak yang banyak membantu keluarga

am@hmetro.com.my

Padang Besar: Ramadan ke-6 semalam sepatutnya menjadi hari pertama buat Rahimi Mat Rejab makan bersama ibunya sempena bulan mulia ini.

Namun takdir menentukan veteran komando tentera itu meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Tok Kayaman-Jejawi di Beseri ketika dalam perjalanan ke masjid bersama anaknya, Umar Haziq.

Ibunya, Argon Hashim, 83, meluahkan kesedihan tidak dapat bersama anaknya untuk berbuka puasa bersama-sama.

Argon berkata, sebelum kejadian itu, Rahimi, 49, sempat singgah ke rumahnya dan berjanji untuk makan bersama selepas pulang dari masjid.

“Namun saya tidak sangka itulah kali terakhir dia jejak kaki di sini (jumpanya di rumah) sebelum meninggal dunia,” katanya yang ditemui di kediamannya di Ngulang, Mata Ayer, di sini hari ini.

Menurutnya, Rahimi adalah anak yang sangat prihatin dengan kebajikannya, bertanggungjawab dana sentiasa mengambil tahu keperluan dirinya.

“Apabila mengenangkannya, mak cik jadi sebak kerana Rahimi banyak membantu keluarga terutama dari segi kewangan.

“Malah, Allahyarham tidak pernah berkira dalam membantu adik beradik… jadi manalah orang tidak sayang dengan dia,” katanya.

Abang ipar mangsa, Bakar Othman, 60, pula tidak menyangka melalui kawasan kemalangan yang membabitkan Rahimi dan Umar Haziq.

Menurutnya, mereka sekeluarga sebelum itu berhimpun di rumah Argon dan keluar sebelum waktu berbuka puasa.

“Bila lalu di kawasan kejadian, saya tengok kereta polis banyak dan ketika itu sudah dekat waktu berbuka puasa, jadi saya pun tak berhenti.

“Sekadar lalu sahaja, (ketika itu) tidak tahu pun siapa yang meninggal dalam kemalangan itu,” katanya yang hanya mengetahui adik iparnya sudah tiada apabila dimaklumkan rakan sebaik memasuki kawasan perumahannya.

Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Veteran Komando Malaysia Zon Utara, Sani Osman berkata, Rahimi bersara sejak lima tahun lalu dengan jawatan terakhirnya adalah jurulatih payung terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka.

“Kehilangan Allahyarham sangat dirasai dan kami akan membantu keluarga Allahyarham menerusi bantuan pengurusan jenazah, di mana kita akan salurkan RM3,000 daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia.

“Selain itu, kita akan bantu menguruskan pencen terbitan untuk balu Allahyarham dan insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya mengusahakannya sebelum Aidilfitri ini,” katanya.

Rahimi meninggalkan isteri, Marliah Haris dan tiga anak yang berusia antara enam hingga 16 tahun.

Terdahulu menerusi Facebook, Marliah berkongsi kemalangan meragut nyawa suaminya berlaku ketika Rahimi dan anak lelaki mereka dalam perjalanan ke masjid di Padang Lati.

“Anak sulung saya Umar Haziq bin Rahimi masih di dalam ICU (unit rawatan rapi) dalam keadaan kritikal. Mohon doakan Umar agar terus kuat. Pembedahan tadi telah selesai. Doktor akan pantau rapi dalam 48 jam ini. Please doakan Umar untuk fight kali ini,” katanya.

Jenazah Rahimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Ngulang, Mata Ayer kira-kira 3 petang tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top