PETALING JAYA: Perjuangan Pemuda UMNO tidak pernah mudah, namun segala cabaran yang ditempuhi sepanjang 77 tahun penubuhan sayap parti itu menjadi asas dalam membentuk kekuatan serta keteguhan perjuangannya hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perjuangan tidak pernah dijanjikan mudah, ada waktunya suara disalaherti, langkah dipersoal, kesetiaan diuji dan jalan yang dilalui pula sentiasa hadir dengan pelbagai rencam.
Namun, katanya, segala cabaran tersebut membentuk Pemuda UMNO pada hari ini.
“Pemuda tidak dibesarkan oleh kesenangan, dibentuk oleh keberanian untuk terus berdiri ketika yang lain memilih berdiam, dan hidup atas kesetiaan untuk terus bertahan ketika perjuangan tidak lagi menjanjikan pujian.
“Saya sentiasa percaya, jika mahu melihat kekuatan sesebuah bangsa, lihatlah kepada anak mudanya. Jika teguh prinsip mereka, jika berani langkah mereka dan jika utuh kesetiaan mereka maka bangsa itu masih punya masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO bukan sekadar menjadi penyambung usia parti tetapi penyambung nyawa sebuah perjuangan.
“Jangan kita hanya mewarisi nama perjuangan ini. Warisilah juga keberanian untuk memikul dan mempertahankannya.
“Selamat Ulang Tahun ke-77, buat sahabat-sahabat Pemuda UMNO Malaysia.
“Perjalanan ini mungkin tidak pernah mudah tetapi kita juga tidak pernah dibentuk untuk menyerah,” katanya. – UTUSAN

