Barron Trump diancam bunuh, ganjaran RM40 juta menanti

WASHINGTON – Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti video yang disiarkan televisyen kerajaan Iran berhubung dakwaan rancangan untuk membunuh anak bongsu Presiden Donald Trump, Barron Trump.

Jurucakapnya, Nate Herring berkata, agensi itu menyedari kewujudan video berkenaan dan akan menyiasat sebarang perkara yang boleh dianggap sebagai ancaman terhadap individu di bawah perlindungannya.

“Perkhidmatan kami menyedari video tersebut dan menyiasat apa sahaja yang boleh dianggap sebagai ancaman terhadap individu di bawah perlindungan kami.

“Demi keselamatan operasi, kami tidak membincangkan perkara berkaitan risikan perlindungan,” katanya menerusi e-mel pada Selasa.

Video berdurasi tiga minit yang disiarkan televisyen kerajaan Iran itu membincangkan kemungkinan rancangan untuk membunuh Barron, 20.

Siaran berkenaan turut mendakwa anak Presiden AS itu sedang dipantau selain mendakwa ganjaran AS$10 juta (RM40 juta) ditawarkan untuk membunuhnya.

Ancaman itu muncul ketika Washington dan Teheran terus berbalas retorik keras di tengah-tengah perang yang tercetus hampir enam bulan lalu selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari.

Reuters sebelum ini melaporkan AS menerima beberapa amaran daripada Israel sepanjang tahun lalu berhubung dakwaan Iran berhasrat membunuh Trump.

Trump sendiri pernah mendakwa beliau berada di kedudukan teratas dalam ‘senarai sasaran pembunuhan Iran’.

Sejak pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dibunuh dalam serangan AS, media Iran dilaporkan beberapa kali menyiarkan kandungan berbentuk ancaman terhadap Trump dan anggota keluarganya.

Pembunuhan Khamenei berlaku pada permulaan perang di Iran yang dilancarkan Trump bersama Israel. – Agensi

Scroll to Top