Ankalaev lebur ego Pereira

Ankalaev lebur ego Pereira

Las Vegas: Magomed Ankalaev menumbangkan Alex Pereira untuk merangkul kejuaraan light heavyweight UFC selepas meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara di UFC 313, hari ini, sekali gus menyaksikan Pereira mengalami kekalahan kali pertamanya dalam divisyen itu.

Ankalaev dari Rusia, yang tidak pernah tewas sejak Mac 2018, berjaya mengatasi Pereira dengan tekanan ke depan serta serangan lutut tepat ke badan, sebelum membuatkan lawannya keletihan dengan menolaknya ke pagar oktagon.

“Saya tak dapat gambarkan dengan kata-kata. Saya sudah menunggu begitu lama. Inilah impian saya, dan kini ia berada di pinggang saya,” kata Ankalaev selepas akhirnya memenangi tali pinggang kejuaraan.

Ankalaev sebelum ini hanya mampu mencatat keputusan seri ketika menentang Jan Blachowicz dalam perebutan gelaran pertamanya pada Disember 2022.

Pereira, yang memenangi empat pertarungan terakhirnya menerusi knockout, kerap menyasarkan tendangan ke kaki hadapan Ankalaev di awal pertarungan.

Namun, Ankalaev bangkit pada pusingan kedua dengan melepaskan tumbukan kiri yang menggoyahkan kaki Pereira hanya beberapa saat sebelum loceng berbunyi.

Ankalaev meneruskan tekanan pada pusingan seterusnya, menggunakan serangan lutut jarak dekat ketika Pereira cuba menangkis percubaan take down.

Kehebatan Ankalaev dalam pertarungan grappling membolehkannya menolak Pereira ke pagar oktagon dan menghabiskan tenaganya pada pusingan keempat.

Ketika pasukan kejurulatihan Pereira mendesaknya untuk melawan, dia mara ke hadapan pada pusingan terakhir dan melepaskan tendangan ke kepala Ankalaev.

Namun, ia tidak mencukupi untuk meyakinkan juri, dan bekas juara middleweight itu terpaksa menerima kekalahan ketiga dalam karier profesional seni bela dirinya.

“Rancangan saya adalah untuk terus memberi tekanan. Semua orang yang menentangnya cuba untuk melakukan serangan balas, tetapi saya mahu pastikan saya bertarung sebagai pejuang nombor satu,” kata Ankalaev.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top