Atletico tekad hapus badi Los Blancos

Atletico tekad hapus badi Los Blancos

Madrid: Atletico Madrid perlu mengatasi cabaran sengit Real Madrid yang lebih berjaya dari segi sejarah kejohanan ketika mereka berusaha untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Khamis ini.

Los Blancos adalah juara 15 kali yang juga juara bertahan dan mendahului Atletico 2-1 dalam perlawanan 16 terakhir serta menjadi badi selama beberapa dekad kepada Atletico.

Kedua-dua pasukan bertemu lima kali dalam sejarah kejohanan dan Real Madrid menang kesemuanya.

“Sejarah itu wujud, dan sejarah Madrid dalam Liga Juara-Juara adalah luar biasa,” akur jurulatih Atletico, Diego Simeone sebelum perlawanan pertama dengan pasukannya masih menunggu untuk memenangi Piala Eropah pertama mereka.

Paling menyakitkan bagi Atletico adalah kekalahan pada final 2014 dan 2016 masing-masing di Lisbon dan Milan.

Pasukan Simeone mendahului dalam masa kecederaan di Lisbon tetapi tandukan Sergio Ramos pada minit ke-93 memaksa masa tambahan yang akhirnya dimenangi Madrid 4-1.

Dua tahun kemudian, final itu berlanjutan hingga penalti tetapi pertahanan Atletico, Juanfran gagal menjaringkan penalti sebelum Cristiano Ronaldo menyempurnakan tendangannya untuk satu lagi kejayaan Madrid.

Itulah kekalahan ketiga mereka di pentas akhir, selepas kalah kepada Bayern Munich dalam final 1974, dengan presiden ketika itu, Vicente Calderon menyifatkan kelabnya sebagai “el pupas” – sumpahan buruk.

Tidak ada yang lebih tepat daripada itu apabila pasukan Simeone berdepan dengan Real Madrid di Eropah.

Pada separuh akhir 2017, Atletico kalah 0-3 di Santiago Bernabeu dalam perlawanan pertama, tetapi walaupun mereka mendahului dua gol pada aksi kedua, mereka gagal apabila Isco menyamakan kedudukan untuk Madrid.

Pada 2015, jaringan lewat pada minit ke-88 oleh penyerang Madrid, Javier Hernandez memisahkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang sengit.

Dominasi Madrid pertama kali pada 1959, apabila mereka mengalahkan Atletico 2-1 dalam play-off separuh akhir, selepas perlawanan timbal balik di tempat sendiri dan lawan berakhir dengan kedudukan seri.

Namun, cogan kata Atletico adalah “keberanian dan hati” dan dengan hampir 70,000 peminat di belakang mereka di Stadium Metropolitano, mereka percaya mampu mencipta babak baru dalam buku sejarah.

Ini akan menjadi pertemuan pertama UCL menentang Real Madrid di rumah baru Atletico, dengan pertempuran separuh akhir 2017 menjadi aksi Eropah terakhir mereka di stadium Vicente Calderon.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top