'Untung' ambil pekerja GIG

'Untung' ambil pekerja GIG

Kuala Lumpur: Sekretariat Komuniti Gig Malaysia menjangkakan jumlah pekerja gig di Malaysia bakal menyaksikan pertumbuhan antara 10 hingga 15 peratus setahun bersandarkan kemungkinan syarikat tempatan mengurangkan kos operasi perniagaan masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, jika syarikat tempatan hanya mengupah pekerja gig, ini bermakna mereka tidak perlu terikat kepada Akta Pekerja 1956 yang perlu memberi pelbagai perlindungan kepada pekerja tetap.

“Di bawah akta berkenaan, majikan perlu buat caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Hal ini membabitkan kos operasi syarikat. Justeru, pengambilan pekerja gig dilihat lebih efisien kepada syarikat pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah menyediakan satu suruhanjaya lebih lengkap untuk menjadi satu pusat sehenti kepada pekerja gig terutama bagi pekerja gig berpendapatan rendah.

“Ketika ini kita boleh lihat pekerjaan gig bukan sekadar mereka yang terbabit di dalam e-hailing atau p-hailing sahaja, malah ia membabitkan kerjaya profesional seperti wartawan, arkitek, jurutera dan doktor.

“Sebenarnya dalam pekerjaan gig ini kita boleh bahagikan kepada beberapa kategori pendapatan. Pertama, mereka yang berpendapatan tinggi seperti penyanyi terkenal dan profesional yang menerima bayaran tinggi untuk satu persembahan dan mampu menjamin kehidupan jangka masa panjang,” katanya.

Tambahnya, golongan kedua ialah berpendapatan sederhana seperti pemandu pelancong. Pendapatan golongan ini konsisten, tetapi tidak sebanyak bayaran golongan pekerja gig berpendapatan tinggi.

“Golongan ketiga yang kita khuatirkan iaitu berpendapatan tidak menentu iaitu dalam kalangan pekerja e-hailing dan p-hailing. Hakikatnya di Malaysia, kita ada 300,000 hingga 400,000 pekerja berkenaan yang aktif dan mereka ini perlu diberi perlindungan sewajarnya,” katanya.

RUU dibentang dalam masa terdekat

Rang undang-undang (RUU) pekerja gig yang bakal dibentangkan pada masa terdekat ini adalah pertama dan digubal khusus untuk pekerja gig yang tiada di dalam undang-undang sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, sebelum ini hanya pekerja mempunyai majikan dan bekerja sendiri sahaja dilindungi undang-undang terutamanya Akta Kerja 1955 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Selain itu terdapat juga undang-undang berkaitan keselamatan pekerja iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Bagaimanapun, mereka tidak dilindungi di dalam undang-undang yang ada sekarang.

“Ketiadaan undang-undang khusus ini mengakibatkan pekerja gig terdedah kepada peluang diskriminasi dan penganiayaan pekerja dari sudut kebajikan dan keselamatan sosial,” katanya kepada Metro Ahad.

Jelasnya, pernah terjadi berlaku boikot dalam kalangan pekerja gig dalam platrorm digital tertentu yang mengakibatkan kualiti perkhidmatan terjejas dan menyebabkan berlaku masalah dalam rantaian penyedia perkhidmatan kepada masyarakat.

“Selain itu, mereka juga tiada kuasa tawar menawar dengan majikan mereka iaitu platform digital mengakibatkan hak mereka tidak terpelihara dan terdedah kepada manipulasi pelbagai pihak.

“Mereka juga tiada perlindungan sosial seperti ketiadaan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengakibatkan mereka menghadapi kesukaran sekiranya berlaku kemalangan dan juga kelangsungan hidup mereka masa mendatang,” katanya.

Tambahnya, manfaat undang-undang ini turut memberikan perlindungan sosial kepada pekerja gig dari segi insurans kesihatan, keselamatan pekerja, hal ehwal berkaitan kerja terutama situasi dan keadaan mereka ketika menjalankan pekerjaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top