Penyanyi Ara Johari tidak mahu ketinggalan dalam memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan melancarkan single terbaharu berjudul Zapin Malam Raya.
Mengangkat genre irama zapin Melayu, lagu ciptaan Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus ini turut menampilkan kumpulan pelawak dari Pantai Timur, Trio Latah, sebagai penyanyi undangan.
Menurut Ara, pada awalnya dia memang merancang untuk mengeluarkan lagu raya tahun ini, namun sukar menemui demo yang sesuai.
“Sebenarnya, saya ada rancangan nak keluar lagu raya tahun ini, tapi tak jumpa demo yang sesuai. Dalam pada sedang mencari-cari, saya bertemu dengan Affan.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan singkat itu, terhasillah lagu ini,” ujarnya.

Lebih istimewa, Zapin Malam Raya menampilkan sisi lain Ara yang sebelum ini tidak pernah membawakan lagu berunsur irama Malaysia.
Lagu ini turut mengetengahkan keunikan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan, yang menjadikan penceritaan lebih menarik.
“Ini kali pertama saya bawakan lagu berirama Malaysia. Mungkin kedengaran sedikit berlainan dengan suara saya yang biasa dengan lagu rock.
“Saya juga teruja apabila lagu ini menyelitkan dialek-dialek negeri iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan, yang mana jalan ceritanya tentang seorang suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya ke kampungnya,” katanya.

Dalam pada itu, muzik video lagu ini kini dalam proses penggambaran dan dijangka boleh ditonton tidak lama lagi.
Lagu Zapin Malam Raya diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan boleh didengari di semua platform digital bermula 19 Mac ini.




