Pengalaman tenis julang Er Yang-Farreez dalam pickleball

Pengalaman tenis julang Er Yang-Farreez dalam pickleball

SUBANG JAYA: Bekas pemain tenis negara, Khoo Er Yang membuktikan pengalaman luasnya di gelanggang raket masih berbisa apabila muncul juara dua acara pada Kejohanan Pickleball Malaysia AmBank 2026 yang berakhir di Kelab Raket Playa, Subang Jaya, semalam.

Pemain berusia 32 tahun itu mencuri tumpuan apabila menjulang gelaran beregu lelaki bersama Farreez Isqandar selain turut mengungguli acara beregu campuran bergandingan dengan Wong Joe Yan.

Pada final beregu lelaki, Er Yang dan Farreez menampilkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pasangan Alexander Tran-Julian Lee 11-6, 11-8 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,200.

Kejayaan tersebut cukup bermakna buat mereka selepas beberapa kali terkandas di separuh akhir dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

“Sudah tentu sangat gembira dengan kemenangan ini kerana kejohanan-kejohanan terdahulu banyak terkandas di separuh akhir. Akhirnya kami dapat mengatasi cabaran itu dan menjulang kejuaraan.

“Memang pengalaman bermain tenis memberi kelebihan kepada kami, terutamanya bagi menyesuaikan diri dengan sukan ini. Selain itu, kami juga mampu untuk berdepan tekanan dengan baik,” katanya.

Pengalaman tenis julang Er Yang-Farreez dalam pickleball
Er Yang dan Farreez menampilkan aksi meyakinkan untuk menewaskan pasangan Alexander Tran-Julian Lee 11-6, 11-8 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,200. – IHSAN PENGANJUR

Momentum kemenangan itu diteruskan dalam acara beregu campuran apabila Er Yang dan Joe Yan tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Benjamin Ngoi-Choong Kai Le 11-6, 11-4.

Kejohanan berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa nama besar sukan negara serta selebriti tanah air termasuk Datuk Mirnawan Nawawi, Datuk AC Mizal, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Sementara itu, Pengarah Strategi Score Sports Management, James Tan menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut mencapai objektif yang ditetapkan selain membuktikan perkembangan positif sukan pickleball di negara ini.

“Kami sangat gembira dengan sambutan serta kualiti kejohanan yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini. Ia memberi keyakinan kepada kami untuk meneruskan kejohanan ini pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top