Malaysia, Bangladesh setuju eksploitasi pekerja tidak boleh diterima, perlu sistem ambilan lebih telus

Malaysia, Bangladesh setuju eksploitasi pekerja tidak boleh diterima, perlu sistem ambilan lebih telus

PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh bersetuju bahawa eksploitasi dan penganiayaan terhadap pekerja migran tidak boleh diterima, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan kepada sistem pengambilan pekerja yang lebih telus dan adil.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun pekerja asing kekal penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, kedua-dua negara mesti memastikan kebajikan serta keluarga mereka dilindungi.

“Kerjasama sumber manusia, khususnya pekerja, telah menjadi kritikal kepada kelangsungan ekonomi kita tetapi pada masa yang sama telah menimbulkan banyak isu dan kebimbangan. Terutamanya isu kemanusiaan, layanan dan juga cabaran untuk memastikan ia lebih telus dan adil.

“Saya amat menghargai sentimen disuarakan secara peribadi kepada saya dan juga dalam mesyuarat dua hala bahawa kita mesti menerajui usaha menghentikan keterlaluan dan memastikan ia telus, memenuhi keperluan kedua-dua negara. Kita mesti melindungi kepentingan pekerja ini dan keluarga mereka,” kata Anwar.

Sementara itu, Tarique berkata, Bangladesh telah meminta Malaysia untuk mempertimbangkan pengambilan lebih ramai pekerja Bangladesh serta membuka semula pasaran buruhnya secepat mungkin.

Tarique turut membangkitkan isu pemutihan pekerja Bangladesh tanpa dokumen serta penghantaran pulang rakyat negara berkenaan yang sedang ditahan.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa proses pengambilan pekerja perlu telus, adil dan mampu ditanggung dengan melibatkan lebih sedikit pihak perantara.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama erat dalam isu kepentingan bersama. Saya yakin perbincangan hari ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Bangladesh-Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Tarique mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh serta meneroka peluang memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pengurusan sumber manusia, semikonduktor, tenaga, pertanian dan pendidikan.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Anwar dan Tarique kemudian menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan, serta dua Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan serta Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan. – Bernama

 

 

Scroll to Top