'Ini adalah dugaan' – Peniaga Bazar Aidilfitri Jalan TAR

'Ini adalah dugaan' – Peniaga Bazar Aidilfitri Jalan TAR

am@hmetro.com.my

NSTP

Kuala Lumpur: Peniaga bazar Aidilfitri berdepan cabaran apabila jumlah pengunjung dilaporkan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menerusi tinjauan Berita Harian di Bazar Aidilfitri Jalan TAR, Kuala Lumpur, hari ini menyaksikan keadaan sekitar agak lengang tanpa kemeriahan pengunjung yang hadir.

Peniaga baju kurung, Fittria Salman, 45, berkata, kehadiran pelanggan pada waktu siang berkurangan akibat cuaca panas terik, manakala hujan lebat pada sebelah petang turut menjejaskan jualan.

“Siang panas, petang pula kebiasaannya akan hujan lebat, membuatkan ramai yang malas untuk datang.

“Bagaimanapun, jumlah pengunjung kembali meningkat pada waktu malam, terutama pada hujung minggu.

“Waktu puncak selalunya bermula 8.30 malam hingga 12.30 pagi apabila pelanggan yang datang waktu itu kebanyakannya berkeluarga, manakala selepas tengah malam, ramai golongan muda yang mengunjungi tempat ini,” katanya.

Peniaga kurta, Mohd Hazim Abdul Nasir, 26, bersetuju bahawa tahun ini agak mencabar kerana faktor hujan yang tidak menentu. Namun, jika hujung minggu, bazar di situ masih menjadi pilihan pengunjung.

“Pelanggan terpaksa tunggu sehingga reda sekiranya hujan lebat kerana sedikit menyukarkan pergerakan mereka.

“Namun, jika hari minggu, gerai masih mendapat sambutan yang baik kerana orang ramai masih memilih untuk berbelanja persiapan raya di situ,” katanya.

Mengulas mengenai isu ribut kencang yang melanda bazar itu beberapa hari lalu, Hazim mengatakan gerainya tidak termasuk dalam khemah yang musnah.

“Nasib baik gerai saya tidak terjejas teruk, tetapi banyak juga gerai lain yang roboh,” katanya.

Sementara itu, peniaga minyak wangi, Nabil Luqman Fariz, 35, mengatakan turut terjejas akibat khemah yang rosak ketika ribut melanda bazar baru-baru ini.

“Khemah kami bengkok dan patah disebabkan oleh khemah di belakang kami yang terlebih dahulu roboh.

“Selain itu, air hujan masuk ke dalam gerai, menyebabkan produk kami rosak.

“Kami mengalami kerugian hampir RM3,800 kerana bukan sahaja minyak wangi atas meja yang rosak, tetapi stok yang tersimpan di bawah juga turut terkena tempiasnya,” katanya.

Menurut Nabil, susunan gerai secara back to back pada tahun ini juga dikatakan mengganggu aliran pengunjung dan menyukarkan peniaga mendapatkan perhatian pelanggan.

“Sebelum ini, gerai disusun kiri dan kanan, lebih mudah untuk pelanggan lihat dan masuk ke setiap kedai.

“Sekarang, susunannya berbeza, iaitu jenis khemah peniaga membelakangi antara satu sama lain, menyebabkan ada peniaga kurang mendapat pelanggan kerana ada pelanggan yang malas ingin berpusing untuk melihat khemah seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Nabil tetap bersangka baik dan berharap jualan akan meningkat ketika minggu terakhir Ramadan nanti.

“Ini adalah dugaan, tetapi rezeki itu datang daripada Allah dan kami tetap akan berusaha,” katanya.

Peniaga di bazar Aidilfitri itu turut berharap pihak berkuasa mengambil langkah memperbaiki kualiti khemah yang disediakan agar kejadian seperti ribut yang merosakkan gerai tidak berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top