am@hmetro.com.my
Muar: Wanita maut apabila motosikal ditunggang merempuh sebuah lori berhenti di lorong kecemasan lebuh raya selepas kehabisan minyak, semalam.
Kemalangan pada 6.30 petang di Kilometer 136.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) dekat sini itu, menyebabkan mangsa parah dan meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam berhubung kemalangan membabitkan lori dan motosikal itu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 34 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas kehabisan minyak.
“Selepas pemandunya meletakkan kon keselamatan serta menghubungi pihak Plus bagi mendapatkan bantuan, sebuah motosikal ditunggang wanita berusia 22 tahun datang dari arah belakang lalu merempuh bucu kanan lori.
“Akibatnya, wanita terbabit parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




