HAMAS: Kami tidak menolak cadangan Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat Steve Witkoff. Benjamin Netanyahu menyambung semula perang untuk ‘mensabotaj’ perjanjian gencatan senjata Semenanjung Gaza. [1]
Menteri Luar negara haram Israel, Gideon Saar berkata serangan yang telah meragut ratusan nyawa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza bukan hanya sekadar ‘serangan sehari sahaja’ tetapi operasi ketenteraan tersebut akan diteruskan pada hari-hari yang akan datang. Sehingga saat ini, seramai 404 orang warga Palestin termasuk kanak-kanak- telah terkorban dalam serangan ganas terbaharu tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza sekali gus menamatkan gencatan senjata yang telah berlangsung selama dua bulan. [2]
Al-Azhar mengecam keras serangan terbaharu tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza sebagai ‘black terrorism’, mengkritik kuasa besar dunia kerana memberikan ‘lampu hijau’ kepada rejim penjajah Zionis Israel untuk membunuh rakyat Palestin. [3]
UAE melobi pentadbiran Donald Trump supaya menolak pelan pembangunan Semenanjung Gaza yang diusahakan Mesir dan diluluskan baru-baru ini oleh Liga Arab. [4]
Pencerobohan ke atas Tebing Barat: Seorang warga Palestin terkorban manakala 3 orang lagi cedera akibat ditembak tentera penjajah rejim Zionis Israel dalam serbuan ke atas Qalqilya dan beberapa kawasan di utara Tebing Barat. Tentera penjajah rejim Zionis Israel turut menyerbu Tubas dan Jenin. [5]
Ansarullah: ‘Kami’ meyerang pangkalan tentera udara Nevatim milik tentera udara rejim penjajah Zionis Israel dengan peluru berpandu balistik hipersonik dan berjaya mencapai matlamatnya. Kami akan meluaskan kawasan sasaran di negara haram Israel dalam masa beberapa jam dan hari lagi melainkan pencerobohan dan serangan ke atas Semenanjung Gaza dihentikan. [6]
Ansarullah di Yaman mengaku bertanggungjawab berikutan serangan ketiga ke atas kapal pengangkut pesawat milik tentera Amerika Syarikat USS Harry Truman dan kapal perang yang mengiringinya dengan peluru berpandu dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh tentera udara Amerika Syarikat ke atas Yaman. [7]
Ansarullah di Yaman tidak akan menghentikan tindakan mereka di Laut Merah di bawah tekanan Amerika Syarikat. [8]
Pesawat pejuang rejim penjajah Zionis Israel menyerang Khan Arnabah di Quenitra, selatan Syria dengan mengebom ‘artileri’ yang didakwa menjadi ancaman kepada negara haram Israel. [9]
Lubnan dan Syria bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selepas berlakunya pertempuran rentas sempadan yang sengit sejak dua hari lalu yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya seramai 10 orang. [10]
Sebuah dron pengintip Amerika Syarikat beredar dari menghampiri ruang udara Iran selepas ‘bertemu’ dengan pesawat pejuang F-14 dan dron peninjau Iran. [11]
‘Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin’
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 19/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








