Erma Fatima tiada niat tonjol 'soft porn'

Erma Fatima tiada niat tonjol 'soft porn'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Seks itu tidak kotor,”.

Demikian kata pengarah dan penerbit, Erma Fatima yang menegaskan mengenai elemen seksual yang disuntik ke dalam dua naskhah penuh kontroversinya, Bidaah dan Keluarga Itu. 

Erma berkata, seks itu tidak kotor sekiranya dilakukan oleh pasangan yang halal dan bukan berniat untuk memaparkan aksi lucah ringan (soft porn).

“Apabila ia halal, ia tidak kotor tapi bila tak halal, ia jadi kotor. Jadi perkara itu bukan masalah ‘soft porn’ atau saya ini ‘gedik’ sangat nak buat karya sebegitu. 

“Namun, lemah perempuan di mana, dan lemahnya lelaki pula, di mana?” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Erma, dia tidak berniat untuk menjatuhkan Islam atau mana-mana ilmuan sekaligus menerima setiap teguran dengan hati terbuka. 

“Saya tiada niat untuk menjatuhkan Islam sebab saya orang Islam, saya tiada niat untuk menjatuhkan mana-mana ulama,” katanya. 

Tegas Erma lagi, dia menentang sekeras-kerasnya penunggang agama yang menggunakan Islam untuk menutup perkara terlarang. 

“Saya tidak menentang atau cuba menjatuhkan Islam tapi saya menentang penunggang agama. Kalau tanya dekat luar ada tak ajaran sesat atau bapa rogol anak? Kalau tiada, maka saya gila.

“Saya masih waras dalam membuat cerita yang mempunyai sebab apa yang saya nak sampaikan kerana masyarakat kita semakin sakit di luar sana,” katanya. 

Terdahulu, Bidaah dan Keluarga Itu menerima kecaman hebat netizen lantaran beberapa adegan ‘panas’ sehingga menerima teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top