mdroji@bh.com.my
Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menempatkan anggotanya di 12 lokasi di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada musim perayaan ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, dua lebuh raya itu diberi tumpuan kerana jumlah kenderaan yang dijangka meningkat mendadak.
Beliau berkata, jumlah kenderaan yang banyak akan memberi impak besar terhadap aliran trafik jika kemalangan berlaku di lebuh raya terbabit.
“Dua jajaran itu menjadi tumpuan utama kerana jika ada insiden, kesesakan teruk pasti akan berlaku yang membuatkan ribuan kenderaan terperangkap.
“Sebab itu kita meletakkan anggota di 12 lokasi yang dikenal pasti sepanjang dua lebuh raya itu, bagi membolehkan kita mencapai masa tidak lewat 30 minit untuk sampai ke lokasi kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pelantikan Koperasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) Advance Sdn Bhd sebagai Operator Codo Petros Multifuel Station (MFS) MJC – Batu Kawa di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi KOBOPEM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid; Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy (SEDCE) Robert Hardin.
Kesesakan dijangka berlaku di semua laluan bermula 28 Mac memandangkan kebanyakannya sudah bercuti dan di Kelantan sahaja dianggarkan dua juta kenderaan memasuki Kelantan sempena Aidilfitri.
Nor Hisham berkata, operasi berkenaan yang membabitkan seramai 180 anggota akan bermula pada 28 Mac hingga 4 April.
Sementara itu, Nor Hisham berkata, pengedalian stesen PETROS (MFS) Batu Kawa adalah penyertaan pertama KOBOPEM dalam sektor peruncitan bahan api.
“Perjanjian antara KOBOPEM dan SEDCE ini bertujuan untuk menyediakan koperasi yang mantap sumber pendapatan yang mampan untuk ahlinya dalam jangka masa panjang dan pada masa yang sama memainkan peranan dalam menyebarkan rangkaian PETROS MFS kepada lebih ramai komuniti di Sarawak,” katanya.
Menurutnya lagi, kerjasama itu antara pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk menyebarkan rangkaian PETROS MFS di seluruh Sarawak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




