Madu kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin, iaitu Rose Aliza Sutrisno akhirnya tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dan anaknya sebagai punca perceraian suaminya dengan isteri kedua.
Menjawab tuduhan itu menerusi hantaran di Facebook, Rose menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam keputusan tersebut.
Menurutnya, perceraian itu berlaku atas keputusan suaminya sendiri, bukan kerana desakan daripada dirinya atau anak mereka.
“Selama ini, saya memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu membuka aib sesiapa dan menjaga maruah suami serta nama baik madu saya.
“Namun, apabila tersebar dakwaan bahawa saya dan anak memaksa suami menceraikan madu serta tulisan lama saya digunakan untuk memburukkan saya, maka saya terpanggil untuk menjelaskan perkara sebenar,” tulisnya.
Rose turut mendakwa Nora sengaja membangkitkan isu lama dengan memuat naik semula luahan hatinya yang kecewa dari 2019 yang terbawa-bawa dek emosi selepas mengetahui suaminya telah berkahwin secara senyap selama setahun tanpa pengetahuannya.
“Pada ketika itu terdapat seorang individu yang rapat dengan suami saya (individu itu kini sudah meninggal dunia), merayu agar suami menceraikan isteri kedua atas sebab tertentu.
“Suami akhirnya akur dengan permintaan individu itu dan melafazkan talak di hadapan madu dan anak-anaknya, termasuk arwah Alif.
“Lafaz itu juga dirakam atas permintaan individu itu. Kejadian berlaku pada 2019. Malangnya, video sepatutnya disimpan dimuat naik kembali pada 12 Ogos 2024,” katanya.

Rose turut menegaskan tiada sebarang panggilan telefon yang dibuat oleh dirinya atau sesiapa pun selepas solat Subuh bagi mendesak suaminya menceraikan isteri kedua, seperti yang diperkatakan di media sosial.
Malah, dia juga menolak tuduhan anaknya, Alia, terlibat dalam pemaksaan perceraian itu.
“Alia menyedari kesilapannya dan memohon maaf secara peribadi kepada madu pada September 2020.
“Namun, tulisan sudah lama dipadam dikitar semula oleh madu saya pada tahun ini dan dibiarkan menjadi bahan spekulasi, mencetuskan persepsi buruk seolah-olah anak saya seorang yang tidak beradab,” tulisnya lagi.

Sebelum ini, Nora mengejutkan ramai apabila memuat naik gambar papan tanda Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat bersama kenyataan permohonan cerai yang dibuat bukan atas kerelaannya sendiri.
Dalam hantaran lain di Instagram, penyanyi Di Persimpangan Dilema itu mendedahkan keputusan untuk bercerai dibuat bagi memenuhi permintaan isteri pertama suaminya serta desakan daripada anak mereka.
Artikel Berkaitan: Nora Ariffin Beri ‘Hint’ Bakal Fail Cerai? Mahu Tunai Hajat Isteri Pertama Bermonogami – “Saya Tahu Berdosa Tapi…”




