Meskipun pernah melalui fasa duka, pelawak terkenal, Shahrol Azizie Azmi dan Mohd Hanaffi Razak atau dikenali sebagai Ajak mengaku tidak wujud perasaan kekok apabila digandingkan bersama menerusi pentas Temasya Komedi Rakyat yang bakal dipentaskan tidak lama lagi.
Kata Shahrol, usia perkenalan yang lama membuatkan mereka sudah mengenali cara dan momentum masing-masing.
“Sebenarnya keserasian itu memang tidak pernah hilang. Sebab kami pun sudah lama berkawan. Kami berkawan sejak kecil. Jadi, keserasian itu sudah ada. Untuk kita pupuk balik keserasian itu tak ada isu apa-apa.
“Kami sudah jumpa beberapa kali, bila kita bersembang dan berbual, bila saya tengok mata dia, dia tengok mata saya, kami sudah tahu apa yang kita nak cakap.
“Bila orang lalu nak bahan apa kita dah tahu apa semua dengan hanya sekelip mata sahaja,” ulasnya.

Dalam pada itu, Ajak menjelaskan, kemelut yang melanda hubungan mereka sebelum ini menjadikan persahabatan antara mereka lebih matang.
“Alhamdulillah, sebelum ni semua tahu kita pernah ada masalah. Dan benda itu saya anggap biasa bila kita bersahabat. Tetapi selepas bermaafan hari itu, hubungan kami semakin baik.
“Setiap kali balik kampung ataupun setiap kali Shahrol berada di Kuala Lumpur, kalau ada masa kita akan berjumpa.
“Dan sebenarnya sebelum perjumpaan hari ini pun kami ada bersembang di kampung.
“Jadi saya rasa untuk isu masalah ataupun isu keserasian ini Insya-Allah saya rasa tak ada masalah. Benda itu sudah terpupuk pun sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shiro bakal membuat kemunculan semula di pentas lawak Temasya Komedi Rakyat yang diadakan secara jelajah di tiga buah negeri iaitu Pahang, Perak dan Johor.
Fokus utama acara ini adalah kemuncak festival iaitu Showtime Temasya Komedi Rakyat atau Pesta Malam Muda Mudi yang mana, kumpulan Shiro akan kembali beraksi bersama di pentas yang sama untuk menghiburkan semua pengunjung festival.
Selain Shiro, Temasya Komedi Rakyat juga dibarisi pelawak tanah air, seperti Zulin Aziz, Danial Zaini, Man Rajalawak, Mamak Puteh, Fikri Ibrahim, Atu Zero, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.
Untuk rekod, kedua-dua anggota kumpulan Shiro ini banyak menumpukan kepada kerjaya seni masing-masing sejak mengangkat trofi kejuaraan terakhir mereka pada 2018.
Shahrol banyak menumpukan kepada aktiviti politik serta aktivis bantuan rakyat setempat di kampung halamannya di Kluang Johor.
Manakala Ajak masih kekal menjadi penyampai radio.




