am@hmetro.com.my
Melaka Tengah: Kewujudan komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini semakin membimbangkan bahkan ada dalam kalangan mereka didakwa mula mengemukakan pelbagai permohonan yang disifatkan melangkaui status sebagai pelarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, beliau menerima maklumat dan aduan berkaitan tindakan segelintir warga Rohingya termasuk cubaan mendapatkan pengiktirafan tertentu dalam komuniti setempat.
Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti mempunyai isu berkaitan etnik Rohingya ialah Limbongan dan Pengkalan Rama Pantai apabila wakil rakyat kawasan terbabit pernah berbincang dengannya bagi mencari jalan penyelesaian.
Kata beliau, dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka terutamanya di Duyong, Limbongan serta Pengkalan Rama Pantai.
“Di Limbongan, pernah dihantar surat memohon supaya ada wakil Rohingya dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Di Pengkalan Rama Pantai pula pernah ada permohonan untuk melaksanakan solat Jumaat mereka sendiri,” katanya ketika pemantauan warga Rohingya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok di sini, malam tadi.
Turut disertai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM) dan pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau rapat perkembangan berkenaan bagi memastikan sebarang aktiviti dijalankan mengikut peraturan ditetapkan.
Kata beliau, tiada halangan untuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengamalkan agama mereka, namun tindakan akan diambil sekiranya sesuatu aktiviti dilakukan secara terbuka sehingga menimbulkan isu kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, beliau juga pernah menerima permohonan daripada seorang etnik Rohingya di Duyong yang mahu mendapatkan tauliah mengajar agama.
“Saya tanya dia mahu mengajar siapa dan katanya mahu mengajar anak-anak Rohingya. Jadi kalau begitu, ajarlah komuniti sendiri tanpa perlu tauliah.
“Tetapi apabila mahu mendapatkan tauliah, timbul persoalan sama ada ia bertujuan membolehkannya bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain untuk tujuan tertentu,” katanya.
Mohd Noor Helmy menegaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia dan status mereka kekal sebagai pelarian.
“Kita menerima mereka atas dasar kemanusiaan, namun kepentingan rakyat tempatan perlu diutamakan terlebih dahulu.
“Pelarian tetap pelarian, kita tidak pernah menerima mereka seperti bangsa lain yang menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau turut menerima aduan mengenai sikap segelintir pelarian Rohingya yang didakwa berkelakuan kurang sopan ketika mendapatkan rawatan difasiliti kerajaan seperti di klinik kesihatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Menurutnya, ada antara mereka didakwa enggan mematuhi prosedur ditetapkan selain mendesak supaya diberikan rawatan segera sehingga menyukarkan tugas petugas kesihatan.
Kata beliau ada aduan daripada pegawai kesihatan, apabila mereka datang mendapatkan rawatan namun segelintir warga ini tidak mahu mengikut prosedur dan mendesak untuk diberi rawatan segera.
“Contohnya bagi rawatan ibu mengandung, atas dasar kemanusiaan kita tetap memberikan perkhidmatan, tetapi kadang-kadang adab dan tata susila itu tidak ada sehingga menyebabkan petugas yang sudah penat berasa kurang selesa serta menimbulkan pertelingkahan.
“Ada juga yang mendakwa tidak mempunyai wang untuk membayar kos rawatan sedangkan hakikatnya berbeza,” katanya.
Tegas Mohd Noor Helmy, isu Rohingya tidak lagi boleh dilihat sebagai polemik politik semata-mata, sebaliknya perlu ditangani sebagai isu melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




