najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nabil Aqil terkejut apabila mengetahui bapanya membina sebuah rumah kayu kampung yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 di Kuang, Sungai Buloh khusus untuk majlis persandingannya pada masa depan.
Menurut Nabil, sebagai individu yang membesar di bandar, dia sememangnya mempunyai impian untuk mengadakan majlis perkahwinan dalam suasana kampung.
“Saya tak sangka dia sanggup bina sebuah rumah kampung khas untuk majlis persandingan saya nanti.
“Memang saya ada cakap saya mempunyai impian untuk mengadakan majlis kenduri kahwin di kampung dan ini satu kejutan besar buat saya,” katanya.
Menurut Nabil, dia bagaimanapun mengaku belum menemui calon isteri yang sesuai untuk merealisasikan impian itu.
“Memang saya berharap dapat mendirikan rumah tangga secepat mungkin, tetapi buat masa ini saya reda kerana belum bertemu dengan jodoh yang sesuai. Saya percaya Allah sudah aturkan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Sementara itu, bapa Nabil iaitu Ahmad Zaidi Masri berkata, rumah kayu yang dibina asalnya berada di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1928.
“Namun rumah ini dipindahkan dengan penuh teliti menggunakan teknik tanggam tanpa menggunakan sebarang paku. Jadi rumah itu dipindahkan dan dipasang semula di lokasi sekarang.
“Rumah ini adalah simbol keunikan seni bina tradisional yang masih relevan dalam memenuhi keperluan moden hari ini.
“Memandangkan Nabil belum ada calon, jadi rumah yang diberi nama Rumah Kayu 1928 ini sesuai digunakan oleh sesiapa untuk majlis eksklusif seperti perkahwinan, sambutan hari lahir, dan acara korporat.
“Misalnya Rumah Kayu 1928 baru saja digunakan oleh Datuk M. Nasir untuk penggambaran promosi konsertnya bertajuk Cipta Raya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




