Maria Tunku Sabri tak peduli pandangan negatif, lakukan pembedahan demi kesihatan

Maria Tunku Sabri tak peduli pandangan negatif, lakukan pembedahan demi kesihatan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pengacara, Maria Tunku Sabri, 56, bersikap terbuka dan tidak kisah andai dipanggil dengan gelaran menyerupai seseorang selebriti atau nyonya disebabkan sudah kurus selepas menjalani pembedahan bariatrik pada Julai tahun lalu.

Ujar Maria, dia harus buat keputusan lakukan bariatrik kerana berhadapan masalah kesihatan seperti diabetes, kolesterol dan darah tinggi yang memerlukannya bergantung dengan ubat-ubatan.

“Sejak 19 tahun lalu, sebenarnya saya sudah ambil ubat darah tinggi, diabetes dan kolestrol. Jadi, selepas lakukan saringan kesihatan dan doktor beri tempoh tiga bulan untuk saya kuruskan badan.

“Jika berat saya tidak dapat diturunkan juga, dia (doktor) terpaksa suruh saya kekal ambil ubat-ubat itu secara berterusan walaupun sudah berbelas tahun saya bergantung memakannya selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Ujar Maria, dia bagaimanapun sedar terdapat reaksi ‘kurang manis’ daripada segelintir pihak selepas melihat perubahan fizikalnya yang kurus dengan beberapa panggilan seperti ‘Roslan Shah’ dan mak cik berbangsa Cina sebab kulit putih.

“Apapun, saya tidak ambil hati bila dipanggil macam itu sebab lebih utamakan kesihatan. Apatah lagi, saya anggap mereka mungkin nak kata saya terlalu kurus macam makcik berbangsa Cina atau macam ‘Roslan Shah’ yang kurus.

“Pada saya, yang penting suami dan anak-anak tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan. insya-Allah apa saya inginkan adalah kehidupan sihat, umur panjang dan melihat anak-anak berumah tangga suatu hari nanti,” jelasnya.

Kata Maria lagi, sebenarnya sebelum ini dia pernah juga mencuba pelbagai cara untuk turunkan berat badan, sekali gus berjaya kurus, namun sukar mengawal selera makan dan usaha itu gagal.

Terdahulu, Maria adalah antara 10 peserta program Kilauan Emas Selebriti yang mula disiarkan dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula pada 22 Ogos ini.

Mengenai penyertaannya, Maria ditemui berkata jangan meletakkan harapan terlalu tinggi buatnya untuk menyanyi dengan bagus memandangkan dia adalah pengacara dan kalau menyanyi pun sekadar suka-suka.

Katanya, dia hanya hendak berseronok dan pada masa sama untuk beramal kerana program Kilauan Emas Selebriti ini untuk membantu artis yang memerlukan dan dalam kesusahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top