London: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencuri perhatian apabila mempamerkan koleksi kereta mewahnya yang dianggarkan bernilai £22 juta (RM121.2 juta) menerusi satu hantaran di Instagram.
Pemain berusia 41 tahun itu berkongsi tiga keping gambar dirinya berada di dalam garaj yang dipenuhi pelbagai kereta eksklusif.
Antara kenderaan yang dipamerkan ialah dua buah Ferrari berwarna merah dan sebuah Bugatti.
Sepanjang kariernya, Ronaldo mengumpul pelbagai kereta mewah daripada jenama terkenal seperti McLaren, Mercedes dan Lamborghini.
Malah, tahun lalu dia mengakui sudah hilang kiraan berapa banyak kereta yang dimilikinya.
“Sejujurnya, saya sudah hilang kiraan. Kalau perlu meneka, mungkin sekitar 40 atau 41 buah. Saya memang sukakan Bugatti kerana ia mempunyai karakter yang luar biasa,” katanya.
Antara koleksi terbaharu Ronaldo ialah Bugatti Tourbillon bernilai £3.2 juta (RM17.6 juta).
Dia turut memiliki Bugatti Chiron, Bugatti Veyron dan Bugatti Centodieci yang dianggarkan bernilai £7 juta (RM38.5 juta).
Koleksi Ferrari miliknya pula termasuk Monza, Daytona SP3 dan Purosangue.
Selain itu, Ronaldo turut mempunyai McLaren Senna, Lamborghini Aventador, Bentley Flying Spur, Mercedes G-Wagon Brabus serta tiga buah Rolls-Royce.
Legenda Portugal itu juga pernah menerima sebuah BMW sebagai hadiah daripada kelabnya, Al-Nassr, bersama rakan sepasukan yang lain.
Ronaldo memberi peluang kepada peminat melihat sebahagian daripada koleksi keretanya menerusi hantaran berkenaan yang disertakan kapsyen ringkas: “Mainan saya.”
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat.
Ronaldo dijadual melangsungkan perkahwinan dengan Georgina Rodriguez di Madeira pada hujung minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




