mdroji@bh.com.my
Kuching: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti untuk membekukan cuti raya kakitangannya sebagai persediaan untuk menghadapi banjir berikutan cuaca buruk yang dijangka berlarutan hingga Aidilfitri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM diletakkan dalam keadaan siap sedia sepanjang masa bagi menghadapi sebarang insiden luar jangka.
Beliau berkata, banjir yang sedang melanda Johor, Sabah dan Sarawak memberi petanda supaya JKM meningkatkan kesiapsiagaan walaupun ketika perayaan.
“Justeru kita meneliti untuk mengambil langkah itu (membekukan cuti) kerana menjadi tanggungjawab JKM untuk bertindak segera jika bencana berlaku.
“Namun, setakat ini belum lagi ada keperluan untuk membekukan cuti pegawai JKM kerana situasi masih terkawal, tetapi jika ada keperluan, JKM akan segera memutuskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Ramadan dan Agihan Bubur Lambuk Parlimen Santubong, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu dengan Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA), Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran.
Nancy berkata, banjir yang berlaku ketika ini khususnya di Johor memang amat mengejutkan, namun beliau bersyukur JKM dapat menanganinya dengan baik.
“Syukur Alhamdulillah, operasi penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir berjalan dengan lancar walaupun situasi itu memang mengejutkan.
“Setakat ini, seramai 8,148 mangsa banjir daripada 2,476 keluarga di Johor ditempatkan di 97 pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sabah pula mencatatkan seramai 1,193 mangsa daripada 369 keluarga yang berlindung di sembilan PPS manakala Sarawak pula seramai 79 mangsa di tiga PPS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




