Beraya tak perlu berhabis

Beraya tak perlu berhabis

razis@mediaprima.com.my

DALAM tempoh kira-kira seminggu lagi, umat Islam akan menyambut Aidilfitri bagi meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Bagi memeriahkan sambutannya, ada dalam kalangan pemilik kediaman mengambil kesempatan membuat pengubahsuaian dan mendekorasi kediaman supaya Aidilfitri menjadi lebih bermakna.

Apabila bercakap berkenaan pengubahsuaian, kos yang perlu dikeluarkan antara perkara yang perlu dipertimbangkan.

Pemilik kediaman menjadi dilema kerana pada masa sama perlu membeli pakaian baharu, kuih raya dan sebagainya.

Apatah lagi, belanja sudah banyak dikeluarkan untuk persiapan persekolahan anak pada Februari lalu menjadikan pemilik kediaman menjadi lebih berhati-hati untuk berbelanja.

Sebenarnya, bagi pemilik yang berdepan kekangan bajet dan masa, anda masih boleh menata hias kediaman anda tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar.

Dengan perubahan yang kecil seperti mengubah susun atur perabot, mengecat pintu atau menata rias kediaman secara sendiri lakukan (DIY), mampu memberi impak kepada dekorasi kediaman anda supaya lebih menarik pada 1 Syawal nanti tanpa mengeluarkan kos yang tinggi.

Harian Metro berkongsi beberapa panduan yang boleh diaplikasikan pemilik untuk menata hias kediaman versi jimat.

1. Menukar warna kediaman

-Mengecat ruang tertentu dengan warna lain adalah antara langkah berjimat yang anda boleh pertimbangkan untuk menjadikan kediaman berseri, lebih menarik, cantik dan sedap mata memandang. Bukan itu sahaja, pemilihan warna yang sesuai boleh membantu menjadikan rumah anda lebih luas, lebih cerah, dan lebih selesa. Tidak semestinya anda perlu mengecat dinding. Dengan mengecat pintu dengan warna kontra juga boleh memberi impak yang signifikan kepada kediaman anda.

2. Hias kediaman dengan bunga atau tumbuhan

-Tumbuhan hidup atau bunga bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan dan penyeri malah boleh memberi kesegaran serta keselesaan kepada penghuni. Terdapat sesetengah tumbuhan mampu menghasilkan bau wangi secara semula jadi yang dapat memberi keselesaan untuk tidur dengan tenang. Selain itu, terdapat pokok hiasan yang berfungsi menapis udara dan menyingkirkan bahan-bahan toksik sekali gus memberikan kesegaran di dalam rumah.

3. Tukar susun atur perabot

-Menukar susun atur perabot adalah langkah yang nampak kecil namun sangat efektif bagi pemilik yang memiliki bajet yang terhad untuk menata hias kediaman. Dengan menyusun semula perabot sedia ada dapat mengubah suasana dan mood di dalam rumah menjadi lebih menarik dan estetik seolah-olah anda membuat pengubahsuaian besar. Langkah ini juga dapat menjadikan ruang lebih berfungsi dan indah dan pada masa sama menjadikan aliran lebih praktikal dan selesa.

4. Ruang penyimpanan cekap

-Rumah yang sentiasa kemas dan teratur adalah aspek penting yang perlu dititikberatkan untuk memberi keselesaan kepada penghuni dan tetamu yang akan berkunjung ke kediaman ketika Aidilfitri ini. Ini adalah cabaran besar terutama kepada pemilik kediaman yang mempunyai anak kecil. Oleh itu, anda perlu menyediakan ruang penyimpanan yang cekap yang seperti memasang rak, kabinet tambahan dan gunakan perabot yang dilengkapi dengan penyimpanan tersembunyi.

5. Titik beratkan aspek pencahayaan

-Aspek pencahayaan adalah elemen penting dalam dekorasi kediaman. Pencahayaan dapat memainkan peranan utama dalam mencipta suasana bagi setiap ruang. Selain menggunakan cahaya semula jadi daripada tingkap, anda boleh melabur sedikit dengan membeli pelbagai jenis lampu tambahan yang berada di pasaran pada harga mesra bajet seperti lampu lantai, lampu trek untuk mewujudkan suasana yang hangat dan selesa. Malah seiring dengan perkembangan teknologi, anda boleh memilih lampu yang boleh laras untuk menyesuaikan tahap kecerahan berdasarkan keperluan anda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top