am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa kedai runcit dan pasar raya di sekitar ibu kota didapati menetapkan syarat tertentu untuk pembelian beras putih tempatan (BPT) termasuk meminta pelanggan menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti warganegara.
Tinjauan mendapati peniaga mengambil langkah sedemikian bagi mengelak BPT dibeli warga asing sekali gus memastikan warganegara dapat menikmati komoditi itu pada harga subsidi.
Ada juga kedai didapati mengehadkan pembelian BPT hanya satu kampit untuk setiap keluarga bagi membolehkan lebih ramai pelanggan dapat membelinya.
Peniaga, Sharon Pooi, 47, berkata, pihaknya baru saja menjual BPT dan mengambil langkah ketat bagi memastikan hanya warganegara boleh membelinya.
“Kami memeriksa kad pengenalan setiap pembeli bagi mengelakkan beras ini jatuh ke tangan warga asing. Di kedai saya, setiap keluarga dibenarkan membeli dua kampit beras,” katanya ketika ditemui.
Dia berkata, kedainya tidak meletakkan notis berkenaan had pembelian tetapi mewajibkan pelanggan menunjukkan kad pengenalan sebelum membuat pembayaran.
Menurutnya, meskipun ada pelanggan yang mengadu mengenai syarat menunjukkan kad pengenalan, langkah itu tetap diteruskan bagi memastikan golongan sasaran mendapat manfaat subsidi.
Seorang lagi peniaga yang mahu dikenali sebagai Yaw, 23, berkata, dia mengambil pendekatan lebih sistematik dengan meletakkan pemberitahuan jelas mengenai had pembelian dua kampit beras tempatan bagi setiap keluarga.
“Kami juga memaparkan notis bahawa pelanggan perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum beras tempatan ini boleh dibeli,” katanya.
Yaw berkata, langkah itu bukan saja bagi memastikan beras subsidi dijual kepada mereka yang layak tetapi mengelakkan sebarang salah faham dalam kalangan pelanggan.
Juruwang sebuah kedai, Nurul Huda Ispan, 28, pula berkata, kedainya menetapkan setiap keluarga hanya boleh membeli satu kampit beras saja.
“Ini bagi memastikan lebih ramai pelanggan dapat menikmatinya tapi kami tidak meletakkan sebarang notis mengenai perkara ini di kedai,” katanya.
Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan 24 juta kampit BPT seberat 10 kilogram akan berada di pasaran seluruh Semenanjung.
Pembelian itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.
© New Straits Times Press (M) Bhd

