aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Demi merealisasikan impiannya berlumba dalam saingan MotoGp satu hari nanti, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli perlu melupakan Aidilfitri tahun ini.
Hakim Danish, 17, berlepas ke Sepanyol malam tadi untuk mempersiapkan diri menjelang dua ujian rasmi Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup 2025 berseorangan tanpa ditemani krew atau mekanik dari Malaysia.
Dia dijadualkan menjalani latihan di Tarragona selama seminggu, sebelum ujian rasmi JuniorGP berlangsung Almeria pada 2 hingga 3 April dan Redbull Rookies Cup di Aragon, sejurus selepas itu.
Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, kekangan kewangan yang tidak dapat dielakkan pada tahun ini menyebabkan Hakim Danish terpaksa pergi berseorangan kali ini.
“Kita terpaksa tukar sikit perancangan tahun ini berbanding tahun lalu atas sebab-sebab tertentu. Antara sebabnya adalah masalah kewangan yang tidak stabil pada tahun ini.
“Hakim Danish akan dibantu rakan pasukan kita yang ada di sana. Keputusan ini terpaksa dilakukan untuk kariernya. Jadi untuk saya teruskan program dengan baik, saya rasa ini tindakan yang perlu saya buat untuk meneruskan perlumbaan di JuniorGP dan Red Bull Rookies Cup,” kata Zulfahmi.
Sementara itu Hakim Danish berkata, dia sedar dia perlu berani untuk terus melakar nama dalam dunia permotoran tanah air.
“Harap semua berjalan lancar pada hari ujian nanti. Litar Aragon litar yang bertuah untuk saya, saya pernah menang di sana. Saya harap semua akan okay nanti,” katanya.
Kedua-dua litar Almeria dan Aragon itu bukan asing buat Hakim Danish malah pelumba muda itu pernah memenangi Perlumbaan 2 di litar Aragon dalam saingan Red Bull Rookies Cup sekali gus menjadi pembakar semangat untuknya bagi musim ini.
Saingan JuniorGP dijadual membuka kempen baharu di Litar Estoril, Portugal, 4 Mei ini manakala Litar Jerez menjadi lokasi pertama bagi musim baharu Red Bull Rookies Cup pada 27 April nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd



