Keputusan kes ahli perniagaan cederakan pengawal peribadi diketahui 28 Mac

Keputusan kes ahli perniagaan cederakan pengawal peribadi diketahui 28 Mac

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan berhubung kes seorang ahli perniagaan yang mencederakan dua pengawal peribadi kerana berpuasa pada tahun 2021 lalu akan diketahui pada Jumaat ini.

Chung Chee Yang, 47, sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Klang dengan lima pertuduhan pada 22 April 2021.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan bersubahat bersama Hin Voon dengan mengarahkannya mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam menggunakan rotan.

Berdasarkan sistem e-Filing (EFS), keputusan kes itu akan didengar di Mahkamah Majistret Klang di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat pada jam 9 pagi.

Chee Yang sebelum ini juga turut disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Sebelum ini, polis mendedahkan bahawa susulan tangkapan dibuat di sebuah rumah milik salah seorang suspek di Bukit Tinggi, di sini, sebelum menemui 100 kilogram jongkong emas.

Turut ditemukan adalah 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM28.25 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top