am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Berita mengenai dua rakyat Malaysia yang cedera dalam letupan bom di tepi jalan di Tak Bai, Narathiwat, hari ini mengejutkan jiran mereka.
Ramai menyifatkan kedua-dua mangsa sebagai individu yang pendiam dan jarang kelihatan berada di luar rumah kerana kesibukan kerja.
Pesara Jabatan Pertanian, Mohd Rani Ibrahim, 66, yang tinggal bersebelahan dengan salah seorang mangsa, Muhammad Yusri Udin berkata, dia mengetahui kejadian itu menerusi siaran berita di radio.
“Saya terkejut apabila mendengar berita itu dan tidak menyangka ia membabitkan jiran saya.
“Yusri membeli rumah itu kira-kira lima tahun lalu, namun dia menyewakan beberapa bilik.
“Dia pegawai sains di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan masih bujang.
“Dia keluar bekerja seawal jam 5 pagi dan kadangkala saya tidak melihatnya selama dua atau tiga hari. Dia seorang yang suka menyendiri,” katanya.
Dia berkata, Yusri yang berasal dari Sabah memandu sebuah kereta Proton.
“Apabila saya mendengar berita itu, pada mulanya saya tidak tahu mangsa yang dimaksudkan ialah dia.
“Oleh kerana sudah beberapa hari saya tidak nampak dia, saya tertanya-tanya sama ada sesuatu kejadian yang tidak elok menimpanya,” katanya.
Media hari ini melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas sebutir bom meletup di bawah sebuah pembetung di sepanjang Lebuh Raya 42 di Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai.
Mereka dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, Abdullah yang berasal dari Kelantan mengalami kecederaan akibat serpihan bom pada dahi, kecederaan serius pada kaki kiri serta kepala.
Muhammad Yusri yang berasal dari Sabah pula mengalami kecederaan ringan.
Prayong berkata, letupan berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu Thailand) di Kampung Phrai Wan, kira-kira 100 meter dari persimpangan tiga Sapom di Lebuh Raya Narathiwat-Tak Bai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




