hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Puchong: “Arwah Angah pernah berseloroh mahu berkahwin awal kerana mahu keluar cepat dari bilik bujang. Apabila saya tanya, dia cakap tiada apa-apa berlaku dan hanya bergurau saja,” kata Nor Azlina Zambri.
Nor Azlina, 45, adalah ibu kepada Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan dalaman selepas didera anggota senior di kem di Miri, kelmarin.
Nor Azlina berkata, Muhammad Muqriz yang mesra disapa Angah tidak pernah bercerita mengenai sebarang kejadian sepanjang berkhidmat dalam tentera, termasuk di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri.
“Angah sudah bertugas selama 10 bulan di kem berkenaan dan tidak pernah bercerita apa-apa. Jika ditanya, dia akan cakap semua baik dan biasalah (kehidupan sebagai) askar.
“Arwah juga pernah bergurau mahu berkahwin awal, tetapi sebenarnya tiada perancangan lagi.
“Angah sangat minat bidang ketenteraan dan memang niatnya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum berjaya dalam pemilihan selepas dua kali percubaan.
“Setiap kali ditanya mengenai kehidupannya, dia akan cakap semua baik, cuma seminggu selepas sampai di Sarawak ketika awal penempatan dahulu, dia ada mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik.
“Kami beri sokongan dan kata-kata semangat kepadanya supaya dia terus kuat setiap hari, dan tidak lama selepas itu arwah beritahu semua sudah okey dan seperti biasa,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Puchong Perdana, di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, pembantu koordinator sebuah hospital swasta itu berkata, Allahyarham Muhammad Muqriz sempat pulang bercuti selama 10 hari dan berpuasa bersama keluarga, sekali gus mengakui ia menjadi kenangan terakhir mereka bersama.
“Angah baru saja pulang bercuti dan kami menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu, untuk pulang ke Sarawak dan tak sangka dua hari selepas itu kami dapat berita menyedihkan bahawa anak sudah meninggal dunia.
“Sepanjang 10 hari itu, kami cipta memori bersama. Arwah akan mengajak kami ke bazar Ramadan serta beli macam-macam makanan yang diinginkan.
“Arwah juga sempat minta adiknya masakkan ikan keli berlado dan kek cheesekut serta berbuka puasa dengan opahnya. Kami juga sempat mengambil gambar raya bersama kerana arwah tidak dapat pulang beraya tahun ini,” katanya, memberitahu anaknya menyertai ATM pada Disember 2023.
Katanya, Allahyarham Muhammad Muqriz yang juga anak kedua daripada empat beradik sangat rapat dan manja dengannya serta menyifatkan anaknya seorang yang baik, mendengar kata, disenangi ramai, dan tidak mahu membimbangkan hatinya.
“Biarpun sedih kehilangan anak terutama ketika menjelang Aidilfitri, saya reda dengan takdir ini, cuma sebagai ibu saya terkilan dengan cara pemergiannya.
“Saya hantar anak saya dalam keadaan sihat ketika itu, tetapi kenapa jadi begini?” katanya, berharap kejadian sama tidak berulang kepada orang lain.
Sementara itu, bapanya, Aseri Ismail, 49, berkata dia dan isteri menyerahkan kepada polis dan ATM untuk menjalankan siasatan sepenuhnya dan secara terperinci. Namun, dia berharap kematian anak keduanya itu mendapat pembelaan sewajarnya.
“Angah menyertai ATM atas kemahuan sendiri dan saya tidak pernah menyesal memberi keizinan kepadanya, malah berbangga anak saya berkhidmat untuk negara, tetapi terkilan dengan cara pemergiannya,” katanya.
Jenazah Muhammad Muqriz diterbangkan ke Kuala Lumpur semalam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, jam 11.55 malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




