am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis menyiasat insiden seorang pekerja wanita sebuah kedai menjual minuman dan ais krim yang dimaki seorang pelanggan di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 7, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 8.42 malam semalam yang memaklumkan dia dimaki seorang pelanggan ketika urusan transaksi pembayaran dibuat.
Katanya, suspek adalah lelaki tempatan yang datang ke kedai berkenaan bersama keluarga untuk membeli ais krim dan air strawberi berharga RM6.50 dan suspek memberi wang tunai sebanyak RM10 ketika membuat pembayaran.
“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta syiling 50 sen daripada suspek kerana tidak mempunyai baki wang yang cukup di dalam mesin cash box sebelum lelaki berkenaan menyindir mangsa.
“Tindakan mangsa menutup cash box dengan kuat menyebabkan suspek tidak berpuas hati lalu memarahi serta mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina wanita itu.
“Kejadian itu dileraikan oleh rakan sekerja mangsa dan suspek terus beredar selepas urusan pembelian selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut polis mendapati mangsa ada menghantar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit kepada ahli keluarganya sehingga menyebabkan ada individu tidak bertanggungjawab menularkan rakaman itu di TikTok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersekali Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Mohd Iqbal menasihatkan orang ramai supaya menjaga keharmonian dan perpaduan negara dalam masyarakat berbilang kaum dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Mahanira Mahat, di talian 017-6444895,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, meminta polis segera menjalankan siasatan terhadap satu video tular mengenai seorang jurujual wanita berketurunan Dayak yang didakwa diugut dan dimaki seorang lelaki, termasuk membabitkan perkataan berbaur perkauman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




