redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hanya kerana minat menghasilkan tanjak dan tengkolok, bapa dua anak ini pernah dianggap ketinggalan zaman.
Bagaimanapun, kata-kata sindiran itu tidak mematahkan semangat Mohd Azizi Azrai Azlan, 35, untuk terus menjadi pejuang seni warisan busana tradisional dengan menjadi pengarang tanjak dan tengkolok.
Berkongsi kisahnya, Mohd Azizi yang menetap di Pandan Perdana, dekat sini, berkata, minat terhadap seni gubahan tanjak dan tengkolok tercetus sejak pertengahan 2021 selepas mengikut majikannya ke sebuah acara busana Melayu klasik.
“Daripada situ, terdetik untuk cari kain dan cuba buat (tanjak) dan inspirasi saya adalah arwah opah (nenek) kerana dia pandai serta pernah ajar. Jadi percubaan pertama itu saya buat sendiri tanpa tengok video tutorial pun waktu itu.
“Walaupun tak begitu menjadi, saya puas kerana dapat buat sendiri dan tahun 2023, saya berguru dengan pakar iaitu Dr Johan Iskandar Abdul Karim (Pengarah Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu) dan ayahanda Mohd Yatim Mustaffa.
“Mereka antara yang banyak beri bimbingan dan suntik semangat supaya saya jauh ke depan sampai saya dapat pengiktirafan tahun yang sama (2023) selepas mengikuti bengkel bawah kendalian mereka,” katanya.
Menurutnya, dia sudah menghasilkan banyak tanjak dan tengkolok terutama selepas mengambil tempahan sejak pertengahan 2022.
Katanya, gubahan paling lama dihasilkan mengambil masa selama sembilan hingga 10 jam pada tahun lalu.
Bagaimanapun, koleksi peribadinya kurang daripada 10 kerana lebih banyak menghasilkan tempahan pelanggan dan sempat mencuri masa walaupun bekerja sebagai pemandu lori.
“Ikutkan, permintaan dan tempahan tak pernah berhenti malah raya tahun lalu saja dapat tempahan hasilkan 1,000 unit.
“Tahun ini 500 unit saja tapi saya tetap puas kerana menghasilkan tanjak dan tengkolok kerana ia ibarat terapi nak lepaskan tekanan selepas seharian penat bekerja atau bila marah dan kecewa.
“Lagi seronok apabila anak lelaki saya (Abid Hurairah, 6) mula tunjuk minat kerana setiap kali pergi kenduri, dia nak pakai tanjak macam saya malah sudah kenal kain digunakan untuk membuatnya (tanjak). Jadi secara tak langsung ia beri motivasi buat saya kerana sudah ada pewaris,” katanya.
Mohd Azizi berkata, dia tidak keberatan menerima undangan ke majlis berkaitan busana tradisional untuk berkongsi hasil gubahan dan mengangkat lagi seni warisan tanjak serta tengkolok.
“Insya-Allah saya setuju (terima undangan) jika kena dengan masa dan tempatnya tambahan saya suka kongsi ilmu.
“Dulu di Facebook (FB) dan sekarang banyak buat siaran langsung TikTok kerana nampak ramai anak muda pernah dengar tapi tak tahu macam mana rupanya tanjak serta tengkolok.
“Kalau ada rezeki pula, saya rancang nak sewa rumah untuk jadikan galeri mini untuk pamerkan koleksi peribadi serta hasil gubahan,” katanya yang menjual tanjak dan tengkolok dengan harga serendah RM100 hingga RM1,800.
© New Straits Times Press (M) Bhd




