PRESIDEN UAE Mohammad Bin Zayed al-Nahyan dalam kunjungan mengejutnya ke Mesir minggu lalu memberi amaran kepada kerajaan Mesir bahawa ini adalah kali terakhir kepada Mesir untuk menerima cadangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya menerima sebahagian besar pelarian Palestin dari Semenanjung Gaza dengan Mesir bakal kehilangan sokongan Amerika Syarikat jika enggan berbuat demikian, berikutan berkali-kali Mesir menolak cadangan tersebut. [1]
Kerajaan Jordan enggan menjelaskan mengenai kenyataan yang dikaitkan dengan Menteri Luar Jordan Ayman Safadi yang kemudiannya menafikan laporan media Middle East Eye mengenai cadangan Jordan untuk ‘mengusir’ 3,000 anggota HAMAS dari Semenanjung Gaza untuk menamatkan perang dengan rejim penjajah Zionis Israel. [2]
Sekurang-kurangnya seramai 38 warga Palestin di Semenanjung Gaza terkorban dalam tempoh 24 jam yang lalu berikutan serangan udara ganas tentera penjajah rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza. Agensi Kemanusiaan PBB, OCHA melaporkan dianggarkan seramai 142,000 orang warga Palestin terpaksa berpindah sejak rejim penjajah Zionis Israel menyerang kembali Semenanjung Gaza. [3]
Tentera penjajah rejim Zionis Israel sedang bersiap sedia untuk melancarkan fasa seterusnya serangan ke atas Semenanjung Gaza. [4]
Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu dalam ucapannya di Knesset (Parlimen) negara haram Israel menyatakan bahawa tentera penjajah rejim Zionis Israel akan ‘menjajah’ wilayah di Semenanjung Gaza jika HAMAS enggan membebaskan tahanan pendatang haram Yahudi. [5]
HAMAS menyatakan bahawa Perdana Menteri negara haram Israel Benjamin Netanyahu telah mensabotaj perjanjian gencatan senjata dan ‘menyerah diri’ berikutan tekanan daripada Menteri Keselamatan negara haram Israel yang berhaluan kanan dan ekstremis Itamar Ben-Gvir sambil menambah bahawa Benjamin Netanyahu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan perjanjian gencatan senjata. [6]
Laporan perisikan Amerika Syarikat menyatakan bahawa HAMAS masih menjadi ancaman keselamatan kepada negara haram Israel, masih mempunyai ribuan pejuang dan situasi masih kekal tidak menentu. [7]
Dilaporkan bahawa demonstrasi berlaku di beberapa kawasan di Semenanjung Gaza seperti bandar Gaza dan Beit Lahia yang menuntut HAMAS ‘melepaskan kuasa’ di Semenanjung Gaza buat hari kedua berturut-turut dengan memaparkan ‘plakad’ slogan anti HAMAS. [8]
Agensi PBB untuk pelarian Palestin UNRWA menyatakan bahawa regim penjajah Zionis Israel menolak semua permintaan dan cubaan untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza. [9]
Sebuah majalah popular Amerika Syarikat, The Atlantic telah menyiarkan komunikasi sensitif yang membabitkan pegawai-pegawai tertinggi pentadbiran Donald Trump dalam aplikasi komunikasi ‘Signal’ mengenai pelan terperinci yang membabitkan serangan ke atas Yaman oleh tentera Amerika Syarikat. [10]
Ansarullah menyatakan semalam sekurang-kurangnya 17 serangan udara dilancarkan ke atas Saada dan Amran di Utara Yaman oleh tentera udara Amerika Syarikat dengan beberapa jam kemudian tentera Yaman melancarkan serangan roket ke atas kumpulan kapal perang Amerika Syarikat di Laut Merah dan serangan dron ke atas fasiliti ketenteraan di negara haram Israel. [11]
Sebagai maklum balas berikutan laporan media di atas tekanan Amerika Syarikat, Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam menyatakan bahawa normalisasi hubungan dengan negara haram Israel di Lubnan ditolak oleh seluruh warga Lubnan. [12]
Tentera penjajah rejim Zionis Israel terus mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan apabila tentera penjajah rejim Zionis Israel menceroboh masuk ke Labbouneh, kawasan di Lubnan yang terletak di sempadan Lubnan-negara haram Israel berdekatan bandar Naqoura di daerah Tyre di Selatan Lubnan dengan membina dua jalan bertar di kawasan tersebut. [13]
Turki di ambang kekacauan: Bantahan terhadap penahanan bekas Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu semakin meningkat, berlakunya pertempuran ganas antara polis dan perusuh dengan ancaman meningkat kepada fasa lebih berbahaya. [14]
Pentadbiran baharu Syria menggesa komuniti antarabangsa untuk menyiasat jenayah rejim Zionis Israel di Syria. [15]
Amerika Syarikat telah memberikan kepada pentadbiran baharu Syria senarai syarat ketat yang perlu diikuti untuk melonggarkan sebahagian kecil sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas Syria. [16]
Ketua Angkatan Tentera Sudan, Jenaral Abdul Fattah al-Burhan mengisytiharkan bahawa Khartoum telah dibebaskan, beberapa jam selepas tentera Sudan menawan kembali Lapangan Terbang Khartoum daripada militia Rapid Support Force (RSF). [17]
Bagaimana Black Rock dan sebuah dinasti perkapalan Itali meningkatkan perniagaan pelabuhan di Asia Barat untuk mendapat keuntungan daripada ‘Order Baharu Dunia’ Donald Trump. [18]
“Bebaskan Masjid Al-Aqsa, Merdekakan Palestin”
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 27/3/2025
Rujukan:
[1] https://www.jpost.com/middle-east/article-847641
[2] https://www.middleeasteye.net/news/jordan-foreign-minister-safadi-denial-hamas-expulsion-plan
[5] https://www.jpost.com/israel-news/article-847649
[6] https://english.almayadeen.net/news/politics/netanyahu-sabotaged-agreement–yielded-to-ben-gvir–hamas
[10] https://www.aljazeera.com/news/2025/3/26/the-atlantic-publishes-us-attack-plans-shared-on-signal
[17] https://www.aljazeera.com/news/2025/3/26/sudan-armed-forces-retakes-khartoum-airport-from-rsf
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!








