Perubatan regeneratif patut diberi laluan penilaian khas oleh KKM

Perubatan regeneratif patut diberi laluan penilaian khas oleh KKM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran memperkenalkan laluan penilaian khas bagi produk perubatan regeneratif tempatan sebagai alternatif menyembuhkan penyakit berkaitan kerosakan sel.

Pengasas Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (DTERM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Ruszymah Idrus berkata, kekangan birokrasi dan peraturan ketat semasa membantutkan inovasi tempatan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kejuruteraan Tisu Malaysia (TESMA) berkata, situasi itu berisiko menyebabkan negara kehilangan potensi pelaburan industri bernilai sehingga RM240 bilion menjelang 2031.

“Perubatan regeneratif adalah cabang perubatan moden yang bertujuan membaiki, menggantikan atau menjana semula sel, tisu dan organ manusia yang rosak.

“Berbeza dengan rawatan konvensional, pendekatan ini menggunakan teknologi seperti sel stem dan kejuruteraan tisu untuk merawat punca penyakit secara biologi.

“Antara contoh aplikasinya termasuk menghasilkan kulit tiruan untuk pesakit luka bakar teruk seperti produk MyDerm, membaiki rawan lutut yang haus tanpa pembedahan penggantian sendi, serta menjana semula tisu jantung selepas serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Emeritus Perubatan Regeneratif: Antara Sains dan Harapan Manusia Sejagat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di sini, hari ini.

Ruszymah berkata, Malaysia memiliki kepakaran tinggi dan sudah melabur jutaan ringgit dalam penyelidikan sel stem dan kejuruteraan tisu.

Katanya, antara produk inovasi tempatan yang sudah terbukti di peringkat makmal termasuklah produk penggantian kulit buatan, MyDerm serta produk regenerasi lutut, tulang dan saraf.

“Malangnya, sehingga kini tiada satu pun produk regeneratif keluaran penyelidik tempatan yang berjaya mendapat kelulusan pasaran di Malaysia.

“Produk kita hebat di atas kertas dan di makmal, tetapi ‘mati’ sebelum sampai ke katil pesakit kerana proses regulatori yang terlalu panjang dan kompleks.

“Situasi ini mengakibatkan pembaziran dana penyelidikan awam serta menjejaskan moral saintis muda,” katanya.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, negara berisiko ketinggalan dalam sektor pelancongan kesihatan yang semakin kompetitif.

Justeru, beliau merayu supaya Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan KKM mewujudkan satu mekanisme khas atau ‘Fast Track’ bagi menilai produk regeneratif tempatan yang sudah melepasi fasa penyelidikan berimpak tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top