am@hmetro.com.my
Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman, adalah berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika menyampaikan keputusan majoriti 2-1 mahkamah, berkata hukuman itu tidak melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 5 menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, manakala Perkara 8 memastikan kesamarataan di sisi undang-undang serta perlindungan yang sama tanpa diskriminasi.
Keputusan itu berpunca daripada cabaran undang-undang oleh tiga banduan yang memohon di bawah Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan hukuman sebat terhadap mereka, dengan alasan hukuman berkenaan membawa risiko kematian dan bersifat arbitrari.
Mahkamah tertinggi itu menyatakan bahawa hukuman sebat tidak bertujuan menyebabkan kematian seperti hukuman mati yang bertujuan melucutkan hak untuk hidup.
“Berdasarkan tujuan asalnya, hukuman sememangnya direka untuk bersifat menghukum.
“Mengasingkan hukuman sebat sebagai sesuatu yang sangat kejam atau menjatuhkan maruah adalah mengabaikan hakikat bahawa semua bentuk hukuman yang sah, pada tahap tertentu, menjejaskan maruah dan keselesaan individu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




