Pelakon berbakat besar, Datin Seri Umie Aida, tegas dalam menjaga batas pergaulan di set penggambaran, terutama ketika berlakon dengan pelakon bukan mahram.
Baginya, menjaga kesucian wuduk bukan sekadar keutamaan tetapi juga sebahagian daripada disiplin dirinya sebagai anak seni.
Ketika ditemui XTRA, Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali mengaku dia sentiasa memastikan wuduknya terpelihara bagi mengelakkan dari bersentuhan dengan pelakon lelaki.
“Sejak bertudung, pergerakan saya lebih terbatas. Tetapi Alhamdulillah, dalam projek ini saya bergandingan dengan Rosyam Nor yang sangat memahami dan menghormati perkara ini,” katanya.
Menurut Umie, cabaran utama buat dirinya dan Rosyam sepanjang penggambaran adalah memastikan wuduk tetap terjaga.
“Kami sama-sama berusaha untuk tidak bersentuhan. Ini adalah prinsip yang saya pegang dalam setiap lakonan. Tetapi kalau terjadi tanpa sengaja, itu di luar kawalan,” ulasnya.
Umie berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pelakon Keluarga Itu di Shah Alam, pada Rabu.
Mengulas lanjut, teraju utama drama Keluarga Itu mendedahkan, disiplin menjaga wuduk di lokasi penggambaran sudah diamalkannya sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sudah lama membiasakan diri dengan amalan ini, terutama selepas bersolek. Saya cuba mengekalkan wuduk sekurang-kurangnya hingga masuk waktu Asar atau Maghrib,” jelasnya.
Selain menjaga wuduk, Umie bersyukur kerana interaksinya dengan pelakon lelaki di set sering kali berlaku dalam jarak yang terkawal.
“Alhamdulillah, saya sentiasa cuba memastikan batas itu dijaga. Ia bukan sekadar soal kerja, tetapi juga tanggungjawab saya sebagai Muslimah,” ujarnya.
Dalam pada itu, drama bersiri lakonan Umie, Keluarga Itu sedang hangat ditayangkan di TV3.
Keluarga Itu mengisahkan kehidupan seorang tokoh tahfiz bernama Iman, yang disanjung kerana sifat dermawan dan keteguhan imannya. Namun, di sebalik segala kebaikan yang ditonjolkan, tersembunyi satu rahsia gelap dalam keluarganya yang akhirnya terbongkar.
Jangan lupa saksikan Keluarga Itu terbitan Erma Fatima pada setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 9 malam hanya di TV3.
Episod baharu Keluarga Itu juga boleh ditonton 24 jam lebih awal menerusi strim di Tonton.




