Hobi jana untung

Hobi jana untung

Nibong Tebal: Bermula dengan hobi memancing di laut Wong Kwai Nin akhirnya menyedari minat tersebut menyimpan peluang yang berpotensi dikembangkan.

Minat mendalam dalam industri akuakultur dan keinginan meneroka peluang baharu, mendorong Wong, 61, mengambil keputusan berani mengusahakan ternakan ikan sangkar laut bersama dua rakan Teoh Tiang Hai, 45, dan Loh Jiunn Kee, 37, 13 tahun lepas.

Bermula dengan 60 sangkar, Wong yang juga Pengarah Eksekutif Eco Farm Fishery Sdn Bhd kini boleh berbangga kerana mereka kini mengembangkan operasi kepada 200 unit sangkar di perairan Sungai Udang di sini.

“Saya memang minat dalam bidang penternakan ikan dalam sangkar. Dahulu, saya sering memancing di sini (Sungai Udang) bersama Loh dan meminta pertolongan Ah Hai (Teoh) untuk menempah bot. Saya lihat bidang ini ada potensi besar kerana hasil tangkapan ikan di laut semakin berkurangan.

“Dari situ, saya ajak mereka memulakan perniagaan ini kerana penternakan ikan amat penting bagi memastikan bekalan cukup untuk menampung keperluan sumber protein rakyat Malaysia,” katanya di sini, baru-baru ini.

Wong berkata, mereka menternak tujuh jenis ikan iaitu ikan merah, kerapu, jenahak, nyok-nyok, bawal emas, siakap merah, dan siakap putih, dengan setiap sangkar memuatkan sekitar 4,000 ekor benih, menjadikan operasi akuakultur itu bukan sahaja berskala besar, malah bersifat diversifikasi bagi memenuhi permintaan pelbagai pasaran.

Permintaan juga melonjak pada musim tertentu terutama pada Tahun Baharu Cina, dengan ikan sangkar mereka dipasarkan ke seluruh negara menerusi pemborong.

Mengulas mengenai proses penternakan, Wong berkata, tempoh matang ikan mencecah lima bulan mengikut jenis, tetapi ikan merah, siakap dan kerapu mengambil masa lebih lama, malah sehingga lebih setahun untuk mencecah berat antara 1.5 hingga dua kilogram (kg) seekor.

Ikan diberi makan pelet khas dua kali sehari, selain Wong menegaskan aspek kebersihan dipantau rapi bagi memastikan hanya produk berkualiti dan segar dibekalkan kepada pelanggan.

Eco Farm Fishery juga penerima Sijil Amalan Akuakultur Baik (MyGAP) daripada Jabatan Perikanan.

Mengimbau perjalanan akuakultur mereka, Wong berkata, menternak ikan di laut tidak semudah disangka kerana keadaan cuaca tidak menentu memberikan cabaran demi memastikan ternakan terus berkembang.

“Peristiwa paling buruk untuk kami ialah 90 peratus ikan merah, jenahak dan bawal emas mati akibat pencemaran tidak diketahui punca pada 2023. Kami kerugian hampir RM1 juta semasa itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Pulau Pinang Zarina Zainuddin berkata, Wong antara 153 penternak sangkar marin aktif di negeri ini memperoleh lesen Sistem Kultur Laut (SKL), membabitkan lima kawasan iaitu Batu Maung, Pulau Jerejak, Pulau Aman, Teluk Bahang dan Sungai Udang dengan luas keseluruhan 93.73 hektar.

“Sungai Udang kawasan penternakan paling besar membabitkan lebih 100 penternak dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab mengeluarkan lesen SKL selaras Peraturan-Peraturan Perikanan (Sistem Kultur Laut) 1990 di bawah Seksyen 61, Akta Perikanan 1985,” katanya.

Zarina berkata pihaknya menerima peruntukan lebih RM3.8 juta tahun lepas untuk melaksanakan pelbagai program bantuan, antaranya program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur (SPeKS Akuakutur), Program Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA) (Sistem Sangkar Bersepadu) dan Program Pembangunan Semula Projek Agropelancongan (PPSPA) melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top