Dua dekad menjejak, impian bertemu guru berhati emas akhirnya tercapai

Dua dekad menjejak, impian bertemu guru berhati emas akhirnya tercapai

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Selepas lebih dua dekad, wanita ini akhirnya bertemu semula dengan guru yang pernah berjasa kerana membantunya menjelaskan yuran peperiksaan ketika di Tingkatan Enam.

Detik pertemuan itu mendapat perhatian warganet selepas Nor A’in Ahmad, 41, berkongsi video dengan bekas gurunya, Koay Aun Chuan yang berusia kira-kira lebih 70 tahun di TikTok.

Nor A’in dari Taman Alamanda di sini, berkata dia mula mencari Cikgu Koay sejak beberapa tahun lalu kerana masih terhutang budi dengan guru yang pernah mengajarnya ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, Kedah.

Bagaimanapun, Nor A’in yang kini bertugas sebagai pegawai polis hanya dapat bertemu dengan Cikgu Koay pada 26 Mei lalu iaitu sehari sebelum Aidiladha.

“Saya cuba cari Cikgu Koay sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cuma Mac tahun ini baru saya terjumpa di satu kedai di sebuah pekan Kuala Ketil, Kedah tapi tak sempat menegurnya.

“Kemudian, saya cuba cari maklumat mengenai Cikgu Koay dan rezeki saya kerana akhirnya dapat berhubung dengannya menerusi WhatsApp.

“Selepas berhubung, kami tetapkan tarikh untuk berjumpa tempoh hari dengan ziarah ke rumahnya,” katanya kepada Harian Metro.

Nor A’in berkata, dia bukannya datang daripada keluarga senang kerana ibunya, Minah Man, 72, bekerja di kilang manakala Allahyarham bapanya, Ahmad Che Man penoreh getah.

Berikutan itu, dia berdepan masalah untuk membayar yuran persekolahan dan Cikgu Koay adalah insan yang berusaha mendapatkan bantuan pihak sekolah untuk membantunya ketika itu.

“Waktu itu, ramai yang sudah menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Cikgu Koay datang berjumpa saya kemudian bertanya bila nak membayarnya kerana tinggal seminggu lagi sebelum tarikh tutup.

“Ikutkan, sudah beberapa kali cikgu minta namun saya minta tangguh kerana tunggu emak dapat gaji.

“Saya beritahu cikgu yang saya nak gadaikan barang kemas untuk bayar yuran tapi kedai waktu itu tutup kerana hampir menjelang Tahun Baru Cina.

“Tapi Cikgu Koay tak bagi saya berbuat demikian dan beritahu dia akan tolong…tak lama itu ada cikgu lain beri duit kepada saya untuk bayar yuran dengan bantuan Cikgu Koay dan sedih sangat hingga saya menangis selepas keluar dari bilik guru.

“Malu pun ada kerana berasa macam menyusahkan orang lain,” katanya.

Nor A’in berkata, selain membantunya menjelaskan yuran, Cikgu Koay yang juga bekas guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) pernah memberinya duit belanja untuk makan ketika di sekolah.

“Cikgu Koay mengajar Geografi dan ada ketikanya dia akan mengutip wang dengan setiap seorang pelajar di dalam kelas untuk mendapatkan salinan fotostat bahan pembelajaran.

“Tapi sampai di meja saya, Cikgu Koay letakkan duit dan minta saya gunakan untuk beli makan.

“Cikgu Koay pun pernah belikan saya buku rujukan dan sebenarnya, sampai bila-bila pun saya tak dapat nak membalas jasanya.

“Untuk balas jasanya, saya mendoakan Cikgu Koay semoga dia terus diberi kesihatan yang baik dan berbahagia dengan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top