Iran dakwa kerosakan di lapangan terbang Kuwait berpunca daripada kegagalan sistem Patriot AS

Iran dakwa kerosakan di lapangan terbang Kuwait berpunca daripada kegagalan sistem Patriot AS

Istanbul: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan ia menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, sebaliknya mendakwa kerosakan pada terminal penumpang berpunca daripada kegagalan sistem peluru berpandu Patriot buatan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik penyiar negara Iran, IRIB.

Jurucakap IRGC Hossein Mohebbi berkata siasatan mendapati Bahagian Aeroangkasa pasukan itu tidak melepaskan tembakan ke arah terminal lapangan terbang Kuwait.

“Siasatan kami berhubung impak terhadap terminal penumpang di Kuwait menunjukkan Pasukan Aeroangkasa IRGC tidak melepaskan tembakan ke sasaran itu,” kata jurucakap berkenaan.

Beliau mendakwa kerosakan itu berpunca daripada peluru berpandu Patriot yang jatuh ke terminal berkenaan selepas gagal memintas peluru berpandu Iran.

“Kemusnahan terminal penumpang di Lapangan Terbang Kuwait berpunca daripada ralat sistem Patriot Amerika selepas ia gagal memintas peluru berpandu Iran,” katanya.

IRGC pada Rabu berkata ia menyerang sebuah pangkalan tentera AS di Kuwait dan ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan AS semalaman ke atas menara komunikasi miliknya di Pulau Qeshm, selatan Iran.

Sementara itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) pada Rabu menafikan dakwaan bahawa kerosakan di lapangan terbang itu berpunca daripada peluru berpandu pemintas AS.

“Tidak benar sama sekali,” kata CENTCOM menerusi platform X.

Markas itu menyatakan bahawa Iran menyerang lapangan terbang awam berkenaan “menggunakan dron dalam satu serangan yang disengajakan, terancang dan tidak berasas.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top