Hariz Hamdan panik badan bergoyang berdepan gempa bumi di Bangkok

Hariz Hamdan panik badan bergoyang berdepan gempa bumi di Bangkok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Hariz Hamdan yang berada di Bangkok, Thailand melalui pengalaman mencemaskan apabila gempa bumi berukuran 7.7 pada skala ritcher menggegarkan bandar itu, tengah hari semalam.

Berkongsi detik cemas berkenaan, Hariz yang berada di Bangkok atas tuntutan kerja berkata, dia berada di pusat membeli-belah untuk membeli barang ketika kejadian.

Namun, katanya, dia merasakan badannya seakan bergoyang dan sukar mengimbangkan diri.

“Tiba-tiba badan bergoyang, mulanya saya ingatkan hanya mainan perasaan atau kekurangan air disebabkan berpuasa.

“Bagaimanapun bila nampak lampu bergoyang, ini bukanlah perasaan saya semata-mata.

“Keadaan jadi huru-hara, semua orang gelabah dan berlari untuk selamatkan diri. Saya sempat tengok barangan atas meja terjatuh,” katanya.

Kongsi Hariz lagi, dia bergegas berlari menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku.

“Ketika itu saya tak fikir apa-apa melainkan lari keluar menyelamatkan diri kerana takut pusat membeli-belah runtuh.

“Saya tak pernah lalui pengalaman begini dan agak menggelabah, lagi pula berlaku di negara orang.

“Insiden seperti itu juga tak pernah berlaku jadi warga Thailand dan pelancong panik.

“Sehingga semalam orang ramai masih lagi panik, barang di kedai serba guna seperti air dan makanan habis kerana masing-masing simpan stok, bimbang berlaku gegaran lagi,” katanya.

Menurutnya, acara yang sepatutnya dihadiri semalam juga terpaksa dibatalkan berikutan penganjur bimbangkan keselamatan tetamu kerana diadakan dalam bangunan.

Sementara itu, Hariz berharap jadual penerbangan pulang hari ini tidak terjejas memandangkan ramai pelancong panik membeli tiket untuk keluar dari Thailand.

“Saya harap dapatlah balik hari ini. Keluarga pun risaukan keadaan saya selepas gempa bumi. Saya sudah menghubungi mereka untuk maklumkan keadaan saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top