norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pempengaruh, Marissa Dania Hakim, 21, mendapat kata-kata semangat daripada pengikutnya dan warganet di media sosial agar kuat serta bangkit membina kehidupan baharu selepas disahkan bercerai dengan Ahmad Aslam, 27.
Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini membuat keputusan menerusi Hakim Syarie, Nadiah Khamis memutuskan status Ahmad Aslam dan Marissa bukan lagi suami isteri.
“Jalan terus okay? I’m always here for you (Saya selalu ada untuk awak),” tulis Marissa ringkas pada hantaran dimuatnaik di Instagram Story (IGs) berserta emoji hati berwarna putih.
Susulan itu, rata-rata netizen meninggalkan komen agar Marissa terus tabah menghadapi ujian dalam kehidupannya dengan memberi fokus kepada perniagaan diusahakan dan pengajian di universiti nanti.
“Terbang tinggi sayang. Awak layak dapat terbaik,” komen seorang wargamaya.
“Terus kuat Marissa, kamu cantik dan masih muda,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Bina masa depan kamu semula Marissa, semoga bahagia selalu,” ujar netizen.
“Awak bijak Marissa, belajar balik dan tambah emas dalam simpanan,” kata seorang pengikutnya.
Pada hantaran beberapa foto dimuatnaik Marissa di Instagram (IG), anak kedua pasangan pelakon, Norman Hakim dan bekas isteri, Abby Abadi ini menerima ratusan komen yang memuji kecekalan dirinya.
Terdahulu, Ahmad Aslam atau nama sebenar Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid berkahwin dengan Marissa sebagai isteri keduanya di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Bagaimanapun, pada Mei tahun lalu pasangan muda ini hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tujuan pengesahan pernikahan mereka selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga.
Difahamkan, ketika perkahwinan itu Ahmad Aslam masih berstatus suami kepada pempengaruh dikenali Umisya Mazlan dan mereka didakwa bernikah tanpa pengetahuan isteri pertama dan keluarga termasuk ibu bapa Marissa.
Namun, Ahmad Aslam yang diwakili peguam syarie, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri difahamkan memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk terhadap Marissa pada 10 Mac lalu.
Sebelum ini, Muhammad Ammar dilapor berkata anak guamnya pernah melafazkan dua kali lafaz cerai dan rujuk kepada Marissa pada September 2024 dan rujuk pada bulan sama.
Ahmad Aslam kemudian difahamkan ada melafazkan cerai kali kedua terhadap Marissa pada April tahun lalu dan mereka kembali rujuk semula.
Menerusi perkahwinan Ahmad Aslam dengan isteri pertamanya, Umisya, mereka kini dikurniakan empat cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




