nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mempertahankan keputusan parti itu meletakkan calon bukan Melayu, Sharon Teo bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, pemilihan calon sudah diputuskan dan tidak timbul masalah berhubung keputusan itu
“Tiada masalah (letak calon), kita selesai semua. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelepasan rasmi kontena eksport nanas segar MD2 ke New Zealand di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian AMANAH Pasir Gudang yang memboikot calon berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan AMANAH Pasir Gudang mengadakan sidang media menyatakan pendirian memboikot calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Permas yang diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Jun lalu.
Penolong Setiausaha AMANAH Pasir Gudang, Haini Harun berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara kerana pihaknya masih menyokong Ketua AMANAH Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah sebagai calon yang dianggap lebih layak berdasarkan kepimpinan dan gerak kerja di kawasan berkenaan.
Katanya, pihaknya sudah beberapa kali mengemukakan bantahan terhadap kemungkinan calon luar dipilih, namun tidak menerima maklum balas.
Menurutnya, keputusan meletakkan calon yang tidak dikenali jentera akar umbi menimbulkan cabaran kepada parti untuk menggerakkan kempen dalam tempoh singkat.
“Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk memboikot calon berkenaan dengan tidak akan membantu kempennya.
“Walaubagaimanapun kami tidak akan menghalang atau menjejaskan jentera kempen pihak yang datang dari luar kawasan,” katanya.
AMANAH Johor sebelum ini mengumumkan Sharon Teo sebagai calon DUN Permas, sekali gus menjadikannya calon tunggal bukan Melayu dan bukan Islam yang mewakili parti itu pada PRN Johor.
Sharon, yang pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha AMANAH Johor dan Ketua Wanita AMANAH Negara (Warda) Johor, berkata pencalonannya membawa mesej bahawa AMANAH adalah parti pelbagai kaum.
“Amanah sebenarnya adalah parti pelbagai kaum untuk semua, kita bawa satu konsep iaitu rahmatan lil alamin,” katanya yang mengakui merupakan anak didik bekas Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Pada 22 Jun lalu, PH mengumumkan 56 calon bagi PRN Johor, dengan AMANAH mempertaruhkan 19 calon termasuk 13 muka baharu.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




