Ramai serbu Jalan TAR, 'shopping' saat akhir

Ramai serbu Jalan TAR, 'shopping' saat akhir

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang sinonim lokasi tumpuan membeli belah Aidilfitri meriah apabila orang ramai mengambil kesempatan hujung minggu untuk membuat persiapan akhir hari raya.

Tinjauan wartawan Harian Metro tadi mendapati Bazar Aidilfitri Lorong TAR semakin sibuk menjelang hari terakhir Ramadan.

Keadaan ini juga menunjukkan orang ramai lebih gemar membuat pembelian saat akhir persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Rata-rata pengunjung memilih lokasi itu kerana kepelbagaian pilihan, harga berpatutan serta tawaran diskaun menarik yang ditawarkan peniaga.

Kamisah Hashim, 56, dari Taman Putra Perdana, Puchong, berkata kunjungannya ke bazar itu setiap tahun sudah menjadi tradisi sejak anak-anak masih kecil.

“Setiap kali menjelang raya, saya wajib ke sini. Banyak pilihan dan harga pun boleh tawar menawar,” katanya yang akan pulang ke Melaka pagi esok untuk beraya di rumah ibu mentuanya.

Menurutnya, dia dan suami, Nasaruddin Ismail, 61, memilih untuk bersederhana seperti kebiasaan sambutan hari lebaran.

Sementara itu, Rabiya Mohd Idris, 33, dari Sri Damansara berkata, dia mengambil peluang membeli kelengkapan raya bersama anaknya, Orkid Sofea, 10 bulan, sebelum pulang ke Paka, Terengganu malam esok.

“Kami selalu beli saat akhir kerana ketika ini terdapat banyak diskaun,” katanya.

Bagi Mohd Asyraf Mohd Adnan, 54, dari Kelana Jaya, kehadirannya ke bazar Aidilfitri TAR setiap tahun adalah satu kemestian.

“Apa saja yang kita cari ada dijual di sini. Banyak gerai memberikan harga diskaun pada saat akhir,” katanya yang akan beraya bersama keluarga di Gombak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top