London: Diogo Dalot percaya Manchester United berada dalam ‘landasan yang betul’ walaupun mengalami kekalahan ke-13 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas di Nottingham Forest.
Skuad kendalian Ruben Amorim mendominasi penguasaan bola di Stadium City, namun tuan rumah yang berada di tempat ketiga menang 1-0, hasil gol solo menakjubkan daripada bekas pemain akademi United, Anthony Elanga.
United kini berada di kedudukan ke-13 dalam carta dengan hanya baki lapan perlawanan. Mereka hanya satu lagi kekalahan untuk menyamai jumlah kekalahan terbanyak dalam satu musim EPL ketika di bawah kendalian Erik ten Hag pada musim 2023/24.
United yang tumpul mencipta 23 percubaan ke arah gol tanpa sebarang jaringan, tetapi pemain pertahanan, Dalot melihat petanda yang pasukan ini semakin menyesuaikan diri dengan pendekatan Amorim.
“(Semangat juang kami) menunjukkan betapa kami mahukan kemenangan dan menunjukkan betapa kami mahu mengubah situasi ini, untuk tidak berada di kedudukan yang kami ada, terutamanya dalam Liga Perdana,” katanya kepada MUTV.
“Dan jika kami mahu bersaing pada masa depan, kami perlu mula bertindak seperti ini dan kami perlu menunjukkan prestasi seperti ini.
“Saya fikir keputusan akan datang akhirnya, tetapi sedikit sebanyak ini perlu didahulukan jika kami mahu bersaing dalam Liga Perdana dan meraih gelaran utama.”
Beliau menambah: “Kami masih perlu melalui sedikit kesulitan, tetapi dari segi usaha untuk keluar daripada situasi ini dan cuba memperbaiki, saya rasa kami di landasan yang betul.”
United akan menerima kunjungan Manchester City pada Ahad sebelum aksi peringkat pertama suku akhir Liga Europa menentang Lyon di Perancis minggu depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




