SHAH ALAM – Semua pihak yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diseru mengamalkan budaya demokrasi yang matang dengan menumpukan kempen kepada dasar, fakta dan penyelesaian isu rakyat, bukannya memainkan sentimen agama serta kaum.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, calon, jentera parti dan penyokong perlu mengelakkan sebarang bentuk fitnah, provokasi serta ucapan kebencian yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
Menurut beliau, proses demokrasi hanya akan memberi manfaat kepada rakyat sekiranya semua pihak menghormati undang-undang serta etika berkempen sepanjang tempoh pilihan raya.
“Politik tidak sepatutnya dibina atas naratif yang menimbulkan ketakutan atau mengeksploitasi sentimen agama dan perkauman demi meraih sokongan.
“Agama merupakan asas penting dalam kehidupan masyarakat, namun ia tidak wajar diperalatkan bagi memecahbelahkan rakyat atau mempengaruhi pertimbangan pengundi melalui sentimen yang tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada terhadap penyebaran maklumat di media sosial dengan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau berkongsikannya.
Katanya, tindakan itu penting bagi mengekang penyebaran berita palsu dan fitnah yang boleh mencemarkan proses demokrasi serta mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Beliau berharap rakyat Johor dapat membuktikan kematangan politik dengan membuat pilihan berasaskan fakta, prestasi dan tawaran terbaik demi masa depan negeri itu.
Sathia turut menyeru semua calon serta jentera kempen agar mengekalkan adab, integriti dan sikap saling menghormati sepanjang berkempen meskipun berbeza fahaman politik, sekali gus memastikan PRN Johor berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan demokratik.



