Program Felda tak dilarang tapi kempen guna jentera kerajaan ditegah – Anwar

Program Felda tak dilarang tapi kempen guna jentera kerajaan ditegah – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak menyekat sebarang penganjuran program bersama peneroka Felda oleh kerajaan negeri tetapi penggunaan jentera kerajaan Persekutuan untuk tujuan kempen pilihan raya sama sekali tidak diizinkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, arahan jelas sudah dikeluarkan bahawa semua acara yang menggunakan jentera kerajaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya bagi memastikan prinsip keadilan dan integriti dipatuhi.

“Saya tidak memberikan arahan (sekat sebarang penganjuran program bersama Felda). Arahannya ialah tidak boleh ada acara menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya. Itu arahan bagi kesemua.

“Jadi dalam soal Hari Peneroka, ia tidak dilarang. Kerajaan negeri nak pergi bagi geran tanah, itu hal dia walaupun dia tahu peraturan pilihan raya… bukan larangan. Tapi untuk gunakan jentera Felda berkempen, tidak boleh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pembatalan sambutan Hari Felda di Kluang, Johor yang didakwanya berpunca daripada isu politik sehingga menjejaskan harapan peneroka untuk menerima geran tanah.

Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, keputusan mengenai program tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya atas arahan kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, isu pembatalan itu tidak pernah dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri kepadanya selain turut menyifatkan dakwaan yang tular di media sosial itu sebagai tidak berasas.

Beliau berkata, tiada halangan untuk mana-mana Menteri Besar memasuki kawasan Felda bagi melaksanakan program mereka sendiri.

Menyentuh mengenai soal kebajikan peneroka pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian serius terhadap agenda pemulihan Felda yang sebelum ini terjejas akibat pengurusan terdahulu.

Ujarnya, kerajaan juga menyalurkan peruntukan bantuan RM1 bilion sebulan bagi menyelamatkan kedudukan kewangan agensi berkenaan demi kepentingan peneroka.

“Felda yang untungnya besar semasa (kepimpinan) bekas Pengerusi Kumpulan Felda, Raja Muhammad Alias memegang, dimusnahkan kerana pengurusan yang merosakkan dan sekarang kita pulihkan, kita yang tampung.

“Banyak kemudahan baharu yang kita sediakan umpamanya pusat dialisis di setiap kawasan dan semua jentera kerajaan Pusat masuk untuk bantu sekolah dan sebagainya,” tambahnya.

Jelasnya, langkah itu adalah perubahan besar berbanding sebelum ini kerana kawasan Felda dilihat sering kali tercicir atau ‘terkepung’ daripada projek pembangunan desa secara menyeluruh.

Scroll to Top