Mayat lelaki dipercayai hilang ditemui dalam sungai

Mayat lelaki dipercayai hilang ditemui dalam sungai

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan dalam sungai berhampiran Rumah Pam Sungai Raja, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.43 tengah hari dan sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan percaya lelaki itu sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mereput.

“Polis menemui lesen memandu milik mangsa berusia 70 tahun itu dan mendapati waris si mati ada membuat laporan orang hilang pada 23 Mac lalu.

“Hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan punca kematian belum dapat dipastikan sehingga laporan bedah siasat diperolehi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Balai Polis Alor Setar, Inspektor Douglas Anak Tugau di talian 013-3312210 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top