KUALA LUMPUR: Lima kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pukul pagi ini, dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 171.
Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain Serian, empat kawasan lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Kuching dan Samarahan masing-masing 154, Sri Aman (139) serta Bintulu (124).
JAS dalam kenyataan memaklumkan, kemerosotan kualiti udara itu terutama berlaku di Sarawak susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Keadaan tersebut berlaku ketika cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau Asia Tenggara selatan dengan kepulan asap sederhana hingga tebal dikesan dari Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 7 Ogos lalu, sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17 di Sumatera dan 25 dalam negara.
Daripada jumlah titik panas yang dikesan di Malaysia, 22 berada di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.
ASMC turut mengesan kepulan asap sederhana hingga tebal di beberapa kawasan lain di Kalimantan dan bahagian tengah Sarawak manakala kepulan asap ringan hingga sederhana dikesan di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta timur Pulau Jawa.
JAS berkata, pihaknya meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu.
Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Sementara itu, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
Operasi Pembenihan Awan pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
JAS turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri bagi mencegah kejadian pembakaran terbuka.
Orang ramai pula dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU terkini serta mendapatkan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ketika keadaan jerebu. – UTUSAN




