RCI TH, FELDA: Agong titah siasat hingga ke lubang cacing, tiada siapa boleh terlepas jika bersalah!

RCI TH, FELDA: Agong titah siasat hingga ke lubang cacing, tiada siapa boleh terlepas jika bersalah!

Siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain mengelakkan perkara sama berulang pada masa akan datang.

“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO).

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Seri Paduka turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai Laporan Siasatan RCI berhubung TH selain isu semasa membabitkan Felda.

Sebelum ini, Laporan RCI berhubung TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan berlaku kerugian, amalan perakaunan kreatif yang menyembunyikan kerugian bersih sebenar serta pelantikan ahli lembaga pengarah dalam kalangan ahli politik.

Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan laporan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri menunjukkan TH mengalami kerugian RM10 bilion, sekali gus mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Anwar mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu yang didakwa pada nilai jauh lebih rendah berbanding harga pembelian asal.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mendedahkan beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan jualan berkenaan selepas mendapati hotel itu mahu dijual pada harga 100 juta pound Britain (RM549 juta), sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga 160 juta pound Britain (RM879 juta).

Sumber: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Scroll to Top