am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Apa salahnya kami naik kelas ekonomi? Kelas ekonomi atau kelas perniagaan, kita semua sama.”
Ini yang dimuat naik pelakon, Fasha Sandha di Instagram yang kesal dengan tutur kata bernada sindiran daripada seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan, baru-baru ini.
Fasha bersama keluarganya yang menaiki penerbangan itu dalam kelas ekonomi berkata, seorang pramugari menyambut kedatangannya dengan menyebut, ” Fasha Sandha, Economy Class? (Kelas Ekonomi) seolah-olah menyindir kononnya dia tidak mampu menaiki kelas perniagaan.
“Saya dan anak-anak terkejut kerana kami tidak pernah disambut dengan dengan sindiran sebegitu.
“Saya terkesima dengan reaksi yang diberikan dan lantas mengambil gambar pramugari terbabit untuk membuat aduan di perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan itu,” katanya.
Fasha berkata, tindakannya mengambil gambar pramugari itu disedari pramugari lain dan dia datang ke arahnya untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
“Seorang pramugari lain menyapa dan meminta kepastian berkaitan dengan tindakan yang saya lakukan. Saya menjelaskan kepadanya kenapa saya berbuat demikian.
“Pramugari itu kemudian meminta maaf kepada saya mengenai tindakannya mempersoalkan saya dan keluarga menaiki penerbangan kelas ekonomi. Saya juga sempat menyatakan hak saya sebagai penumpang dan juga selebriti tanah air bahawa pilihan saya untuk menaiki penerbangan kelas biasa tidak perlu dipersoalkan.
“Sepanjang saya hidup, tidak pernah ada yang menyoal tindakan yang saya lakukan dan sebagai seorang pramugari, dia tidak boleh memberi sindiran begitu kerana ia dapat mengguris hati penumpang. Pramugari berkenaan lantas meminta maaf atas kesalahannya,” katanya.
Katanya, dia berharap kisah yang dikongsikan itu dapat menjadi pengajaran kepada semua pramugari untuk menjaga tutur kata mereka.
“Apa yang terlintas di hati biar simpan saja di dalam hati. Tidak perlu untuk mengeluarkan kata-kata yang berbaur sindiran kepada anak-anak saya mahupun orang lain.
“Jagalah hati semua penumpang dan jangan mempersoalkan jenis kelas penerbangan yang dipilih kerana kita semua sama saja,” katanya.
Fasha berkata, dia memandang tinggi kerjaya pramugari kerana dia juga pernah bercita-cita menjadi pramugari.
Fasha berkata, sebelum ini anak perempuannya, Puteri Rasyha Jemyma pernah menyatakan hasrat ingin menaiki kelas perniagaan.
“Saya menjelaskan kepadanya kelas perniagaan itu lebih mahal daripada kelas ekonomi. Jadi, lebihan wang boleh dihulurkan kepada golongan yang memerlukan daripada dibelanjakan buat kemahuan yang hanya satu jam saja.
“Apabila perkara ini terjadi, anak-anak saya terkejut kerana kami ibarat dihina di khalayak ramai oleh seorang pramugari,” katanya.
Fasha turut memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa tidak kisah status apa yang dipegang seseorang itu, sebagai seorang pramugari tidak wajar untuk mempersoalkan tindakan yang dilakukan mereka.
“VIP, selebriti, YB atau sesiapa saja sekalipun, tidak salah untuk duduk di kelas ekonomi. Sebagai pramugari, tidak perlu untuk terkejut dan bertanyakan soalan sebegitu kepada penumpang.
“Lebih baik selalu bersederhana kerana dari dulu saya memilih untuk hidup sebegini dan ini memang cara saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




