Keluarga Mohd Zaidi ubati rindu anak perantau beraya di Australia

Keluarga Mohd Zaidi ubati rindu anak perantau beraya di Australia

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Demi mengubati kerinduan anak perantau terhadap keluarga dan kampung halaman, Mohd Zaidi Mohd menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri bagi menghimpunkan rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia.

Mohd Zaidi, 55, berkata, rumah terbuka itu diadakan di kediamannya dekat Sydney, Australia kelmarin sempena menyambut 1 Syawal yang diraikan serentak dengan Malaysia pada tahun ini.

Menurut Mohd Zaidi, sudah tiga tahun dia menganjurkan rumah terbuka dan bersyukur kerana diberi kesempatan lagi untuk menjadi tuan rumah.

“Tahun ini, kira-kira 350 anak perantau Malaysia yang tinggal di Australia hadir ke rumah terbuka anjuran saya sekeluarga.

“Rumah terbuka itu bermula jam 11 pagi hingga 5.45 petang dan kira-kira 12 juadah tradisi dihidangkan buat tetamu yang hadir antaranya ketupat, rendang lontong serta sambal goreng.

“Isteri (Noor Lida Adnan, 56) uruskan bab makanan tapi ramai juga bantu rewang pada malam raya baik perempuan mahupun lelaki yang bantu masak sup tulang serta bakar lemang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bapa tiga anak itu bersyukur kerana majlis dirancang berjalan lancar dan penuh kemeriahan walaupun di perantauan.

“Niat saya nak mengumpul dan menyatukan anak Malaysia supaya dapat bersama menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, dapat sambutan dan seronok jadi tuan rumah malah mereka yang hadir pun sudah anggap saya sekeluarga macam ayah, emak, adik beradik juga datuk mereka.

“Saya pun sudah macam tok penghulu di sini dan saya anggap mereka semua macam keluarga.

“Kalau ada rezeki, saya akan teruskan kerana nak hidupkan tradisi kunjung mengunjung walaupun tinggal di negara orang,” katanya yang sudah 13 tahun menetap di Australia dan kini bekerja sebagai cef sebuah hotel lima bintang dekat Sydney.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top